My Sukan

MAJLIS PENYERAHAN BENDERA KONTINJEN MALAYSIA KE SUKAN OLIMPIK MUSIM SEJUK BEIJING 2022

MAJLIS PENYERAHAN BENDERA KONTINJEN MALAYSIA KE SUKAN OLIMPIK MUSIM SEJUK BEIJING 2022

February 3, 2022 6:41 pm

KUALA LUMPUR, 20 Januari 2022 – Majlis Penyerahan Bendera Kontinjen Malaysia ke temasya Sukan Olimpik Musim Sejuk Edisi ke-24 Beijing 2022 telah diadakan semalam di Hotel Shangri-La Kuala Lumpur. Tan Sri Dato’ Sri (Dr.) Mohamad Norza Zakaria, Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) telah menyerahkan Jalur Gemilang kepada Cik Moira Tan Siew See, Penolong Setiausaha Agung MOM yang telah dilantik sebagai Chef de Mission Kontinjen Malaysia ke temasya sukan tersebut. 

Majlis Penyerahan Bendera telah disaksikan oleh H.E. Encik Ouyang Yujing, Duta Besar Luar Biasa dan Mutlak Republik Rakyat China ke Malaysia. Hadir juga pada majlis tersebut adalah Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Majlis Sukan Negara (MSN), Institut Sukan Negara (ISN), Kementerian Pendidikan serta Presiden, Timbalan Presiden, Naib Presiden dan Setiausaha Agung dari 37 Persatuan Sukan Kebangsaan ahli gabungan MOM.

Untuk pengetahuan, dalam ucapan Mohamad Norza, beliau mengumumkan bahawa dua atlet negara dalam sukan Alpine Skiing telah berjaya melayakkan diri mereka secara merit untuk mengambil bahagian dalam Sukan Olimpik Musim Sejuk ini. Atlet negara tersebut adalah Encik Jeffrey Webb dalam acara Slalom Lelaki dan Cik Aruwin Idami Salehhuddin dalam acara Slalom Wanita serta Slalom Gergasi.

Selain itu, penampilan kedua Malaysia dalam Sukan Olimpik Musim Sejuk pada tahun ini akan mempunyai empat catatan bersejarah seperti berikut:

  1. Aruwin Idami Salehhuddin akan menjadi atlet wanita Malaysia pertama yang layak ke Sukan Olimpik Musim Sejuk.
  2. Aruwin Idami Salehhuddin, yang berumur 17 tahun, juga akan menjadi atlet Malaysia termuda yang kayak ke Sukan Olimpik Musim Sejuk.
  3. Jeffry Webb, yang bertanding dalam Pyeong Chang 2018, akan menjadi satu-satunya atlet Malaysia yang telah layak dua kali ke Sukan Olimpik Musim Sejuk.
  4. Moira Tan Siew See, yang merupakan Chef de Mission ke Edisi ke-3 Sukan Olimpik Belia Musim Sejuk Lausanne 2020, akan menjadi satu-satunya rakyat Malaysia yang akan dilantik sebagai Chef de Mission untuk kedua-dua edisi itu. 

Jom Like, Komen, Share, Follow dan Subscribe semua platform media sosial mySukanTV untuk dapatkan info sukan yang terkini.

Sumber: Majlis Olimpik Malaysia

Sumber Gambar: Majlis Olimpik Malaysia