My Sukan

BAM AKAN UMUMKAN ‘STATUS’ ZII JIA ESOK

BAM AKAN UMUMKAN ‘STATUS’ ZII JIA ESOK

February 3, 2022 6:42 pm

KUALA LUMPUR, 20 JANUARI 2022 – Arena sukan tanah air digegarkan dengan berita pemain perseorangan lelaki utama negara, Lee Zii Jia meninggalkan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) semalam selepas badan induk itu sahkan telah menerima surat peletakan jawatannya kira-kira 9 hari lalu bersamaan 11 Januari 2022.

Bagaimanapun, satu sidang media khas yang akan diadakan pada Jumaat ini (esok) akan menjawab dan merungkai segala persoalan atau status sebenar pemain itu yang kini berada pada ranking ke-7 dunia.

Presiden BAM, Tan Sri Dr. Norza Zakaria yang mengesahkan perkara tersebut semalam turut akui beliau kecewa dengan situasi semasa yang melanda badan induk itu namun menjelaskan pihaknya telah melakukan pelbagai usaha untuk memastikan Zii Jia kekal termasuk dengan memanggil kesemua pegawai utama mereka dari seluruh negara dalam satu mesyuarat majlis pada Isnin lalu.

Malangnya, pemain kelahiran Alor Setar, Kedah itu masih tetap dengan pendiriannya sekali gus menjurus kepada keputusan yang diumumkan oleh BAM esok.

“Beliau memikirkan bahawa keutamaannya mungkin berbeza, jadi kami tahu sebagai sebuah institusi yang tidak statik, kami mendengar, kami tahu bahawa ini adalah harga yang perlu kami bayar kerana saya telah mencipta satu enjin bebas yang sihat seperti yang saya katakan sebelum ini.

“Apapun, kami mempunyai undang-undang dan prosedur kami.

“Sudah tentu kami rasa kecewa tetapi ia mungkin kekecewaan saya secara peribadi sebagai presiden, namun pada akhirnya, pihak majlis sebagai satu institusi akan membuat keputusan dan keputusan itu akan disampaikan pada hari Jumaat ini,” jelas Norza.

Untuk rekod, ini adalah kali pertama pemain berstatus bintang iaitu berada pada prestasi terbaik (ranking 10 terbaik dunia) bertindak mahu keluar dari Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dan menjadi pemain profesional selepas perkara sebegitu hanya terjadi kepada pemain yang berada dihujung karier sahaja seperti apa yang berlaku kepada Liew Darren dan Chong Wei Feng.

Diharapkan, isu ini yang sedang berlarutan sehingga “Rubber Set” dapat diselesaikan dengan cara terbaik tanpa mendatangkan implikasi buruk sama ada kepada BAM mahu pun pemain itu sendiri kerana pada penghujungnya semua tetap berjuang atas nama Malaysia.

Jom Like, Komen, Share, Follow dan Subscribe semua platform media sosial mySukanTV untuk dapatkan info sukan yang terkini.

#MySukanTV #BeritaSukan #BAM #LeeZiiJia

Sumber: Stadium Astro

Sumber Gambar: Badminton Photo