KUALA LUMPUR, 24 Januari 2022 – Peminat hoki wanita tanah air meraih kejayaan Skuad Projek Khas Wanita Kebangsaan menewaskan pasukan Singapura 2-0 dalam aksi kedua Kejohanan Piala Asia Wanita 2022 di Kompleks Sultan Qaboos, Muscat, Oman.
Wirawati dalam perlawanan tersebut adalah Fatin Shafika Mahd Sukri dan Nuraini Abdul Rashid yang telah mengambil peluang untuk menjaringkan dua gol untuk memberi kedudukan selesa kepada skuad negara pada awal perlawanan.
Apabila skuad Malaysia dihadiahkan dengan pukulan sudut penalti pada minit ke-7, Fatin Shafika berjaya menterjemahkan peluang tersebut kepada jaringan dengan kebijakannya untuk menyudahkan flik yang dilakukan oleh Juliani Mohamad Din, Kapten Negara.
Berselang seminit kemudian, Malaysia sekali lagi dihadiahkan dengan pukulan sudut penalti dan kali ini giliran Nuraini Abdul Rashid untuk meletakkan Malaysia selasa dihadapan menerusi flik terusnya yang berjaya menewaskan Liu Yu Tong, penjaga gol Singapura.
Walaupun Skuad Projek Khas Wanita Kebangsaan telah gagal untuk menjaringkan gol bagi melebihi jurang dengan pasukan Singapura, namun mereka berjaya mempertahankan keputusan 2-0 sehingga tamat perlawanan. Untuk pengetahuan, Fatin Shafika, penjaring gol pembukaan negara dipilih selaku pemain terbaik perlawanan tersebut.
Malaysia akan bertemu Jepun dalam aksi terakhir bagi Kumpulan A yang dijadual berlangsung pada pukul 9.00 malam ini (Isnin, 24 Januari).
Jom Like, Komen, Share, Follow dan Subscribe semua platform media sosial mySukanTV untuk dapatkan info sukan yang terkini.