PETALING JAYA, 17 JANUARI 2022 – Sabtu lalu telah berlangsungnya majlis undian peringkat kumpulan Liga M3 bagi musim 2022 yang diadakan di Petaling Jaya menyaksikan 20 pasukan bertaraf semi-pro telah diundi ke dalam dua kumpulan.
Saingan itu akan membuka tirai rasmi pada 11 Februari ini sehingga 3 September depan yang mana peringkat kumpulan dan kalah mati (Suku Akhir & Separuh Akhir) akan dimainkan secara dua pusingan dan menawarkan ganjaran wang tunai RM100,000 kepada pemenang manakala naib juara menerima RM50,000.
Menurut pengerusi Liga Amatur Malaysia (AFL), Datuk Mohd. Yusoff Mahadi, “Sebelum ini hadiah saingan RM30,000. Namun, musim ini kita tingkatkan kepada RM100,000 kepada pemenang, manakala naib juara menerima RM50,000.
“Keputusan ini dibuat bagi memberi suntikan semangat agar pasukan bertanding dengan lebih serius pada kempen kali ini,” jelas beliau.
Lebih menarik, saingan musim 2022 juga tidak akan ada kelibat “Awang Import” selepas pihak AFL enggan ada masalah berbangkit yang akan timbul pada masa akan datang terutamanya selepas dua tahun kejohanan itu terpaksa dibatalkan ekoran pandemik Covid-19.
Saingan Kumpulan A terdiri daripada pasukan Sains FC, Malaysia University. FC Langkawi, Kinabalu Jaguar FC, Imigresen FC, Manjung City FC, Ultimate FC, Tun Razak City FC, Langkawi City FC dan Armed Forces FC.
Manakala Kumpulan B dihuni pasukan Perlis United FC, Tok Janggut Warriors FC, Harini KS FC, Kijang Rangers FC, BRM FC, Respect FC, KL Rovers FC, Bukit Tambun FC, PIB FC, Real Chukai FC.
Jom Like, Komen, Share, Follow dan Subscribe semua platform media sosial mySukanTV untuk dapatkan info sukan yang terkini.