KIM PAN GON BAWA BARISAN KEJURULATIHAN LENGKAP DEMI MISI HARIMAU MALAYA LAYAK KE PIALA
KIM PAN GON BAWA BARISAN KEJURULATIHAN LENGKAP DEMI MISI HARIMAU MALAYA LAYAK KE PIALA
February 18, 2022 3:01 am
KELANA JAYA, 18 Februari 2022 – Barisan kejurulatihan skuad Harimau Malaya yang baharu diperkenalkan oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) pada sesi sidang media yang diadakan di Wisma FAM, Kelana Jaya semalam. Barisan kejurulatihan tersebut di bawah kendalian Kim Pan Gon sebagai ketua jurulatih skuad Harimau Malaya terdiri daripada Pau Marti Vicente (penolong jurulatih), Cho Junho (jurulatih penjaga gol), Dr. Gokhan Kandemir (jurulatih kecergasan) dan Lim Jaehun (jurulatih analisis prestasi).
Kim Pan Gon berkata, “Saya menyandang jawatan sebagai ketua jurulatih pasukan kebangsaan Malaysia dengan satu penghormatan yang cukup tinggi. Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Datuk Presiden dan barisan Exco FAM kerana memberi peluang kepada saya, serta kepada para peminat yang menyambut baik kehadiran saya ini.”
“Saya sudah biasa dengan projek F30 untuk pasukan kebangsaan Malaysia. Dan saya amat sedar bahawa kita mempunyai matlamat untuk menjangkaui tahap Asia Tenggara. Matlamat inilah yang saya dan pasukan saya ini akan cuba sedaya upaya untuk membawa pasukan kebangsaan Malaysia ke peringkat seterusnya. Saya percaya pasukan kebangsaan Malaysia mempunyai potensi yang besar,” tambah beliau.
Beliau juga menyatakan bahawa barisan kejurulatihan kendaliannya diberi masa untuk mengukuhkan asas pasukan kebangsaan terlebih dahulu sebelum bergerak ke arah pencapaian matlamat tersebut.
Untuk pengetahuan, barisan kejurulatihan itu bakal diisi dengan seorang penolong jurulatih tempatan yang akan diumumkan oleh Kim Pan Gon dalam masa terdekat selepas beliau membuat penilaian akhir terhadap beberapa calonnya.
Jom Like, Komen, Share, Follow dan Subscribe semua platform media sosial mySukanTV untuk dapatkan info sukan yang terkini.