CYBERJAYA, 22 FEBRUARI 2022 – Hujung minggu lalu saingan AEON Credit Purple League Junior 2021/22 (ACPLJ) melabuhkan tirainya menyaksikan gelaran juara musim ini jadi milik Kajang United BC yang menumpaskan Ayer Itam BC 176 -122 di Final.
Kajang United BC terlebih dahulu mendapat mata sulung menerusi pasangan beregu campurannya yang menang percuma 3-0 (11-0, 11-0, 11-0) selepas lawan mereka menarik diri sebelum Ayer Itam BC menyamakan kedudukan 3-3 menerusi Tan Wei Liang dalam acara perseorangan lelaki menewaskan Amirul Imran 11-10, 11-10, 11-6.
Acara ketiga pula, perseorangan perempuan tampak sengit dengan Ayer Itam BC meraih kemenangan 3-1 menerusi Oo Shan Zi yang menang ke atas Lee Yu Shan 6-11, 11-9, 11-6, 11-10 diikuti acara beregu lelaki yang turut dimenangi oleh Ayer Itam BC menerusi Chong Jenson – Ooi Yi Hern menundukkan Goh Yi Qin – Wong Zhi Kang 3-2 (7-11, 10-11, 11-10, 11-8, 11-8).
Bagaimanapun, acara beregu perempuan yang sepatutnya menjadi penentuan juara tampak berpihak kepada Kajang United BC selepas Ayer Itam BC menarik diri menjadikan kedudukan terikat 9-9 namun berdasarkan pungutan mata, gelaran juara jadi milik Kajang United BC membawa pulang hadiah RM10,000.
Sementara itu, bagi kategori Bawah 15 tahun yang menawarkan RM5,000 kepada pemenang utama menyaksikan Perling BC menggondol gelaran juara dengan menewaskan Butterworth BC 10-7.
Ketua Pegawai Operasi MPL, Ho Khek Mong dalam kenyataannya berkata, ucapan tahniah buat semua pasukan yang mengambil bahagian dan mereka telah menetapkan satu aras yang baharu buat pertandingan-pertandingan kelolaan Malaysia Purple League.
Jom Like, Komen, Share, Follow dan Subscribe semua platform media sosial mySukanTV untuk dapatkan info sukan yang terkini.