KUALA LUMPUR, 23 FEBRUARI 2022 – Majlis Sukan Negara (MSN) dalam kenyataannya semalam jelaskan Mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi Sukan Malaysia (Sukma) dianggotai wakil kesemua 14 negeri merupakan proses utama dalam menentukan hak sebagai tuan rumah penganjuran temasya itu.
Difahamkan, pendekatan itu telah mula digunakan sejak 2002 di Sabah yang mana penggiliran tersebut akan mengikut zon dan setiap negeri diberikan peluang untuk menjadi tuan rumah temasya yang mengenengahkan atlet berumur dibawah lingkungan 21 tahun.
Terdapat lima zon secara keseluruhan yang terdiri daripada Zon Utara melibatkan Kedah, Perlis dan Pulau Pinang; Zon Selatan (Negeri Sembilan, Melaka, Johor); Zon Timur 1 (Pahang, Terengganu, Kelantan); Zon Timur 2 (Sabah, Sarawak) dan Zon Barat (Perak, Selangor, Wilayah Persekutuan).
“Mengikut sistem penggiliran tuan rumah, Kelantan sepatutnya menjadi tuan rumah pada 2012, namun diberikan kepada Pahang apabila Kelantan tidak bersedia dari segi kemudahan dan infrastruktur sukan yang perlu disiapkan oleh pihak kerajaan negeri,” jelas kenyataan itu.
Berdasarkan keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi Sukma pada Mei 2015 turut menyaksikan Perak dipilih selaku tuan rumah edisi 2018 dan Johor (2020) termasuk mesyuarat jawatankuasa sama pada Mac 2019 memilih MSN menjadi tuan rumah pada 2022 selepas memperoleh kelulusan.
Namun, terdapat perubahan dalam Mesyuarat khas Jawatankuasa Tertinggi Sukma pada 9 November 2020 yang bersetuju bahawa MSN akan menganjurkan Sukma ke-21 bersama-sama Selangor atau Wilayah Persekutuan pada 2024 sementara Kelantan sebagai tuan rumah Sukma 2026.
Bagaimanapun, keputusan itu juga berubah iaitu hak penganjuran Sukma 2024 diberikan kepada Johor yang membuat permohonan kepada Jawatankuasa Tertinggi ekoran situasi wabak Covid-19.
Jom Like, Komen, Share, Follow dan Subscribe semua platform media sosial mySukanTV untuk dapatkan info sukan yang terkini.