KUALA LUMPUR, 23 FEBRUARI 2022 – Satu Malaysia masih heboh dengan kegagalan Skuad Bawah 23 Tahun (B-23) negara di Kejuaraan AFF B-23 di Phnom Penh, Kemboja yang mana ia dianggap sebagai satu ‘kemaluan besar’ buat imej bola sepak negara.
Antara individu yang paling layak untuk memberikan ulasan mengenai keputusan itu pastinya Pengarah Teknikal Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Scott O’Donell yang menyifatkan kegagalan pasukan di Liga Malaysia melepaskan pemain mereka kepada Brad Maloney merupakan antara puncanya.
“Kami mengambil kira bahawa kebanyakan pemain daripada kategori umur yang beraksi dalam pasukan Liga Super dan Liga Premier tidak mendapat pelepasan daripada pasukan masing-masing kerana kejohanan itu adalah di luar jendela FIFA.
Kumpulan pemain itu terdiri antaranya ialah Arif Aiman Hanapi, Luqman Hakim Shamsudin, Mukhairi Ajmal Mahadi, Ramadhan Saifullah, Danial Asri, Sharul Nazeem Zulpakar, Quentin Cheng, Nathaniel Shio Hong Wan, Azri Abdul Ghani dan Rahadiazli Rahalim.
Sementara itu, Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu turut memberikan ulasannya yang mana beliau mahu pihak bertanggungjawab khususnya Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) melakukan ‘bedah siasat’ atau kajian sewajarnya.
“Saya berasa semua pihak terlibat dengan bola sepak perlu mencari jalan dan berusaha dengan bersungguh-sungguh untuk mengembalikan kegemilangan sukan bola sepak di negara ini,” jelas beliau semalam sewaktu sidang media selepas perhimpunan mesra bulanan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) di Institut Sukan Negara (ISN).
Anak buah Maloney tewas dua kali kepada Laos, 1-2 dan 0-2 dalam aksi Kumpulan B sekali gus gagal melayakkan diri ke separuh akhir biarpun beberapa pasukan seperti Indonesia dan Myanmar telah menarik diri berikutan jangkitan Covid-19.
Jom Like, Komen, Share, Follow dan Subscribe semua platform media sosial mySukanTV untuk dapatkan info sukan yang terkini.