KUALA LUMPUR, 25 FEBRUARI 2022 – Demi merealisasikan sasaran Harimau Malaya mara ke pusingan akhir Piala Asia 2023 di China tahun depan, pengendali baharu skuad kebangsaan, Kim Pan-gon mahu anak buahnya mendapatkan sekurang-kurangnya tujuh mata dalam aksi Kumpulan E Pusingan Ketiga Kelayakan di Kuala Lumpur Jun ini.
“Sasaran kita adalah untuk meraih tujuh mata daripada saingan peringkat Kumpulan E ini dalam usaha kita layak mara ke pusingan akhir (Piala Asia 2023).
“Perlawanan paling penting apabila berdepan Turkmenistan. Kita harus cuba sebaik mungkin bagi meraih tiga mata termasuk ketika berdepan pasukan daripada Balang 4, Bangladesh.
“Biarpun ramai yang melabel Bahrain sebagai lawan paling kuat tetapi kita masih lagi boleh memberikan saingan,” jelas Pan-gon dalam sesi sidang media secara maya semalam.
Stadium Nasional, Bukit Jalil akan menjadi venue tunggal sesi kelayakan itu lantas menjadikan sedikit kelebihan buat Harimau Malaya yang kini menduduki tangga ke-154 dunia berbanding Bahrain (ranking 89 dunia), Turkmenistan (134) dan Bangladesh (186).
“Kita akan cuba memberikan aksi yang terbaik bersandarkan sokongan padu daripada penyokong sendiri yang mahu menyaksikan kejayaan pasukan negara kali ini.
“Sebagai tuan rumah, kita perlu memanfaatkan segala kelebihan yang ada dari segi sokongan Ultras Malaya, cuaca, stadium dan sebagainya bagi memacu kejayaan yang diinginkan,” tambah pengendali kelahiran Korea Selatan itu.
Berdasarkan format kelayakan, enam juara kumpulan peringkat ketiga kelayakan itu akan layak secara automatik ke Piala Asia 2023 dengan lima lagi slot untuk naib juara terbaik daripada enam kumpulan.
Malaysia kali terakhir layak ke Piala Asia secara merit pada 1980 di Kuwait manakala pada 2007, Harimau Malaya layak sebagai tuan rumah bersama Indonesia, Thailand dan Vietnam.
Jom Like, Komen, Share, Follow dan Subscribe semua platform media sosial mySukanTV untuk dapatkan info sukan yang terkini.