haziq

KASTURI-VENOSHA GEGARKAN UGANDA

KASTURI-VENOSHA GEGARKAN UGANDA

March 1, 2022 6:00 am

KUALA LUMPUR, 1 MAC 2022 – Pasangan adik beradik, R Kasturi-Venosha yang merupakan beregu badminton wanita negara terus mencipta sensasi dengan menjuarai saingan Cabaran Antarabangsa Uganda 2022 semalam.

Pasangan yang berlatih di bawah Akademi Badminton New Vision itu terlebih dahulu menumbangkan pilihan utama dari Itali, Katharina Fink-Yasmine Hamza 21-15, 21-17 di peringkat separuh akhir biarpun mereka hadir selaku pilihan ketiga sebelum sekali lagi mencipta kejutan menewaskan pilihan kedua Martina Corsini-Judith Mair juga dari Itali 21-18, 21-19 di final.

“Ia adalah permulaan yang baik untuk kami. Kami berharap, ini bukan satu-satunya kejayaan untuk kami tetapi kami akan sentiasa berusaha untuk beraksi cemerlang dan muncul juara untuk kejohanan-kejohanan akan datang,” jelas R. Kasturi.

Kejayaan itu ternyata merupakan ulangan bagi skrip kejayaan mereka muncul juara beregu wanita pada kejohanan Fleet Mauritius International pada 2019 dan menebus kekecewaan sekadar muncul naib juara dalam saingan badminton Cabaran Antarabangsa Bangladesh tahun lalu.

Venosha yang turut beraksi dalam acara beregu campuran bersama pasangannya dari India, Senthil Vel bagaimanapun tewas di final kepada pasangan dari Algeria M Koceila-M Tanina 19-21, 21-18, 22-20 manakala Kasturi raih gangsa selepas turut bersaing dalam acara perseorangan wanita, tewas kepada Talia Ng dari Kanada 12-21, 18-21.

Sementara itu, pasangan beregu lelaki negara, Boon Xin Yuan-Wong Tien Ci turut muncul juara dengan menewaskan pasangan dari Jerman, Jones Ralfy Jansen-Jan Colin Volker 21-15, 21-14 di final.

Jom Like, Komen, Share, Follow dan Subscribe semua platform media sosial mySukanTV untuk dapatkan info sukan yang terkini.

#MySukanTV #BeritaSukan #BeritaTempatan #BadmintonMalaysia #BWF

Sumber : Berita Harian

Sumber Gambar : Berita Harian