KUALA LUMPUR, 1 MAC 2022 – Nama Muhammad Sharul Aimy Kamarul, gimnas muda negara disebut-sebut sebagai pengganti paling layak buat Jeremiah Loo Phay Xing yang telah mengumumkan persaraannya baru-baru ini.
Perkara itu disahkan sendiri oleh jurulatih gimnastik artistik lelaki kebangsaan, Ng Shu Liang yang menyifatkan atlet kelahiran Terengganu mempunyai masa depan cerah dalam arena sukan tersebut.
Namun, Sharul yang kini berusia 20 tahun perlu diberikan masa untuk memperbaiki diri selepas beliau mengalami beberapa siri kecederaan sebelum ini.
“Saya dapat lihat Sharul sebagai pengganti Jeremiah. Dia tidak bernasib baik sebelum ini kerana mengalami beberapa siri kecederaan (termasuk kecederaan lutut).
“Tetapi saya gembira kerana dia telah menunjukkan kemajuan dan semakin baik selepas saya membawanya berlatih di bawah saya tidak lama dulu. Sekarang setelah pulih, Sharul perlu sedikit masa untuk mengecap kejayaan kerana dia masih muda,” jelas Shu Liang.
Sharul membawa pulang pingat perak dalam acara melombol (vault) pada kejohanan Egyptian Pharaohs Cup 2021 di Mesir, Disember lalu dan kini beliau bersama seorang lagi gimnas, Tan Fu Jie sedang giat menjalani persiapan ke kejohanan seterusnya iaitu Apparatus World Cup Persekutuan Gimnastik Antarabangsa (FIG) 2022 di Kaherah, Mesir pada 17 hingga 22 Mac ini.
“Selain sebagai acara pemanas badan sebelum Sukan SEA di Hanoi, Mei ini, pertandingan di Kaherah sangat penting bagi Fu Jie bagi mendapatkan semula temponya dan daya saing selepas kali terakhir beraksi di Melbourne pada February 2020,” jelas jurulatih berusia 38 tahun itu.
Sebagai pengetahuan, Jeremiah Loo Phay Xing mengulangi kejayaan Ng Shu Wai membuat penampilan di Olimpik dengan menamatkan kempen edisi Tokyo 2020 pada kedudukan ke-62 daripada 66 selepas Shu Wai melakukannya pada edisi 2004 di Athens.
Jom Like, Komen, Share, Follow dan Subscribe semua platform media sosial mySukanTV untuk dapatkan info sukan yang terkini.