KUALA LUMPUR, 1 MAC 2022 – Pasukan hoki ais lelaki negara telah selamat berlepas ke Kyrgyzstan malam tadi untuk menyertai Kejuaraan Dunia Persekutuan Hoki Ais Antarabangsa (IIHF) 2022 Bahagian IV di Bishek yang mana ia merupakan penampilan sulung skuad itu.
Kejohanan yang akan berlangsung dari 3 hingga 9 Mac ini bakal menyaksikan penyertaan daripada 5 negara sahaja iaitu Malaysia, tuan rumah Kyrgyzstan, Singapura, Kuwait dan Iran selepas Filipina dilaporkan menarik diri.
Difahamkan, pelbagai dugaan dan cabaran turut dihadapi oleh pasukan negara selepas lima daripada 20 pemain didapati positif Covid-19 sekali gus menjejaskan persediaan mereka dibawah kendalian ketua jurulatih, Gary Tan yang baru sahaja dilantik tiga minggu lepas.
“Saya tidak mempunyai banyak masa untuk mengenali anak buah saya secara bersemuka kerana saya didapati positif Covid-19 seminggu lebih selepas dilantik pada 6 Februari.
“Apa yang dapat saya lakukan ketika tempoh kuarantin adalah melatih mereka secara dalam talian, berbanding latihan secara bersemuka di gelanggang ais… nasib baik mereka yang positif berada dalam keadaan baik dan boleh mewakili negara di Kyrgyzstan,” jelas Gary yang juga bekas ketua jurulatih Indonesia.
Jurulatih berusia 43 tahun itu turut akui persediaan pasukan itu amat terjejas sebelum ini berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sehingga membataskan persediaan dan latihan termasuk penutupan Stadium Luncur Ais Kebangsaan (MYNISS) di Empire City Damansara memburukkan lagi keadaan.
Ia kerana, Stadium Luncur Ais Kebangsaan (MYNISS) merupakan satu-satunya gelanggang ais bersaiz Olimpik di Malaysia dan sebagai ganti pasukan negara hanya mampu berlatih di atas gelanggang yang lebih kecil di Sunway Pyramid dan IOI City Mall.
“Persediaan berjalan dalam suasana yang sukar tetapi pujian harus diberi kepada pemain kerana mereka bekerja keras dalam latihan, sama ada secara dalam talian atau bersemuka.
Kejohanan berformat liga itu bakal menyaksikan Malaysia turun bertemu Kuwait pada 3 Mac sebelum menentang tuan rumah, Kyrgyzstan (5 Mac), Iran (7 Mac) dan Singapura pada 8 Mac.
Hanya juara sahaja akan mendapat slot ke bahagian 3 B tahun depan.
Jom Like, Komen, Share, Follow dan Subscribe semua platform media sosial mySukanTV untuk dapatkan info sukan yang terkini.