haziq

LIEK HOU KINI FOKUS DAPATKAN EMAS DI CHINA – DATUK RASHID SIDEK

LIEK HOU KINI FOKUS DAPATKAN EMAS DI CHINA – DATUK RASHID SIDEK

March 2, 2022 3:44 am

KUALA LUMPUR, 2 MAC 2022 – Ranking no 1 dunia kategori SU5 (kecacatan fizikal) bukan keutamaan pemenang pingat emas badminton paralimpik 2020, Cheah Liek Hou selepas dia kini memberi fokus penuh terhadap Sukan Para Asia 2022 di Hangzhou, China, Oktober ini.

Jurulatihnya Datuk Rashid Sidek berkata, sasaran utama Liek Hou adalah untuk merampas emas temasya sukan tersebut tatkala rankingnya iaitu no 2 dunia (48,600 mata) kini jauh ketinggalan di belakang Dheva Anrimusthi, pemain Indonesia (57,350 mata).

“Bagi saya kedudukan nombor satu itu tidak penting buat masa ini, paling utama bagi Liek Hou adalah sasaran bawa pulang emas pada Sukan Para Asia di China nanti,” jelas jurulatih berusia 53 tahun itu.

Dalam masa sama, Rashid mahu Liek Hou ‘bebas kecederaan’ dan cergas menjelang temasya Sukan Asia tersebut tatkala pemain berasal dari Kuala Lumpur itu akan menyambut ulang tahun kelahiran ke-34 pada 8 Mac ini.

Liek Hou juga perlu waspada terhadap ancaman pemain lain terutamanya Suryo Nugroho, pemain Indonesia yang berkedudukan ketiga terbaik dunia serta pemain lain dari China dan Thailand.

Untuk rekod, Liek Hou sekadar membawa pulang gangsa pada temasya Sukan Asia di Jakarta-Palembang 2018 selepas meraih emas berganda dalam dua edisi sebelumnya iaitu di Guangzhou 2010 dan Incheon 2014.

Jom Like, Komen, Share, Follow dan Subscribe semua platform media sosial mySukanTV untuk dapatkan info sukan yang terkini.

#MySukanTV #BeritaSukan #BeritaTempatan #Paralimpik #BadmintonMalaysia #SukanParaAsia2022

Sumber : BERNAMA

Sumber Gambar : IG Cheah Liek Hou