MALAYSIA HANTAR 574 ATLET SERTAI SUKAN SEA HANOI MEI INI
MALAYSIA HANTAR 574 ATLET SERTAI SUKAN SEA HANOI MEI INI
March 3, 2022 4:25 am
KUALA LUMPUR, 3 MAC 2022 – Malaysia akan menghantar seramai 770 orang membabitkan 574 atlet dan 196 pegawai menyertai temasya Sukan SEA Hanoi, Vietnam pada Mei depan.
Pengumuman itu dibuat oleh MAJLIS Olimpik Malaysia (MOM) menerusi presidennya Tan Sri Mohamad Norza Zakaria dalam satu sidang media selepas tamat mesyuarat jawatankuasa pemilihan atlet ke Sukan SEA semalam.
Bagaimanapun, beliau menjelaskan setakat ini pihaknya masih belum memutuskan sasaran pingat buat kontinjen negara memandangkan mesyuarat tersebut hanya tertumpu kepada proses pemilihan atlet sahaja menjelang tarikh tutup pemilihan 12 Mac ini.
“Masih belum ada perbincangan berhubung sasaran pingat emas (Sukan SEA Hanoi). Mesyuarat kali ini melibatkan 37 persatuan bagi menentukan senarai pendek atlet yang layak beraksi.
“Selain itu, mesyuarat kali ini adalah untuk memastikan atlet yang disenaraikan menepati kriteria yang ditetapkan iaitu tiga terbaik untuk kategori A dan enam terbaik kategori B bagi acara individu dan empat tempat teratas untuk kategori A dan lapan terbaik bagi kategori B dalam acara berpasukan.
“Kontinjen negara ke Hanoi kali ini akan mengambil bahagian dalam 40 sukan dari 43 jenis sukan yang dipertandingkan,” jelas Tan Sri Mohamad Norza Zakaria.
Buat masa ini, penyertaan di bawah tiket kategori A bagi atlet lelaki adalah seramai 121 orang manakala 212 orang bagi kategori B dengan jumlah keseluruhan 333 atlet manakala bagi wanita pula melibatkan 96 kategori A dan 145 kategori B iaitu 241 atlet keseluruhannya.
Sebanyak 43 jenis sukan dengan 461 acara akan dipertandingkan dalam temasya tersebut yang mana ia bakal membuka tirainya pada 12 Mei hingga 23 Mei ini.
Untuk rekod, Malaysia merangkul sebanyak 56 emas, 57 perak dan 71 gangsa dalam edisi sebelum ini, Sukan SEA Filipina 2019.
Jom Like, Komen, Share, Follow dan Subscribe semua platform media sosial mySukanTV untuk dapatkan info sukan yang terkini.