KUALA LUMPUR, 3 MAC 2022 – Nama Malaysia akan kembali disebut-sebut dalam kancah perlumbaan Formula 3 (F3) bagi musim 2022 selepas pelumba muda negara, Nazim Azman sah akan mewakili pasukan Hitech Grand Prix.
Kontrak selama setahun bersama pasukan berpangkalan di Silverstone, United Kingdom itu telah pun ditandatangani hasil pencapaian cemerlang Nazim meraih satu kemenangan dan tujuh penamat di podium pada Kejuaraan EuroFormula.
Difahamkan, pelumba berusia 20 tahun itu akan bergandingan dengan bekas juara British F3, Kaylen Frederick serta pelumba Red Bull Junior, Isack Hadjar.
“Sudah pasti, saya sangat teruja untuk melangkah ke siri FIA F3 dengan Hitech GP. Pasukan ini adalah pemenang perlumbaan dan kejuaraan dalam kategori F3.
“Pastinya pasukan ini akan menyediakan platform terbaik kepada saya untuk memberi tumpuan bersaing dengan pelumba berbakat terbaik dunia F3.
“Saya akui tidak sabar untuk berlumba di Bahrain, melawat beberapa litar ikonik di Eropah dan juga beberapa litar yang saya sudah biasa turun beraksi.
“Saya tidak boleh nafikan ini adalah satu batu loncatan besar bagi karier saya, tetapi dengan menjuarai perlumbaan di British dan EuroFormula, saya bersedia meneruskannya,” jelas pelumba kelahiran Kuala Lumpur itu.
Tidak disangkal Nazim mempunyai pengalaman luas berlumba di eropah selepas beliau membuat penampilan sulung dalam perlumbaan pada musim 2016-17 dalam saingan Formula 4 SEA termasuk beberapa siri perlumbaan Sepanyol seperti F4, SMP F4, Siri Formula Masters Asia dan F4 Itali.
Sebelum beralih ke lebih tinggi iaitu EuroFormula, Nazim juga pernah menyertai BRDC British F3 selama dua musim dengan meraih tempat ketiga dalam perlumbaan Carlin pada 2020.
Jom Like, Komen, Share, Follow dan Subscribe semua platform media sosial mySukanTV untuk dapatkan info sukan yang terkini.