KEKALAHAN KEDUA BERTURUT-TURUT BAGI PASUKAN HOKI AIS LELAKI NEGARA DI KYRGYZSTAN
KEKALAHAN KEDUA BERTURUT-TURUT BAGI PASUKAN HOKI AIS LELAKI NEGARA DI KYRGYZSTAN
March 8, 2022 10:03 am
BISHKEK, 8 Mac 2022 – Kejuaraan Dunia Persekutuan Hoki Ais Antarabangsa (IIHF) 2022 Bahagian IV yang sedang berlangsung di Bishkek, Kyrgyzstan telah menyaksikan pasukan hoki ais lelaki negara ditewaskan oleh pasukan Iran 3-7 dalam perlawanan yang berlangsung semalam. Ini adalah kekalahan kedua berturut-turut bagi Malaysia setelah tewas kepada Kyrgyzstan 1-22 pada 5 Mac lalu.
Dalam perlawanan menentang Iran semalam, pasukan Malaysia memulakan perlawanan tersebut dengan baik setelah berjaya memasukkan gol pertama perlawanan seawal minit ke-2. Jaring tersebut dilaksanakan oleh Muhd Aisar. Namun, Malaysia gagal memegang kepada pendahuluan tersebut apabila Korehei Amin menjaringkan gol pertama Iran pada minit ke-11 yang dibantu oleh Ghafoori Arshia dan Moghadasi Farshad.
Jaringan gol kedua Malaysia dicipta oleh Mohammad Hariz pada minit ke-15 dengan bantuan daripada Versluis Arie dan Goh Juan Jie. Tetapi seminit kemudian, Ghorbani Maziar telah mencipta peluang bagi Aghamohammadi Mohsen untuk menjaringkan gol penyamaan (2-2) bagi Iran dan berakhirnya suku pertama perlawanan tersebut.
Sekali lagi dalam pembukaan suku kedua perlawanan itu, Malaysia mendapat pendahuluan dengan jaringan gol oleh Aiman Zul Rafiq. Tetapi, seperti suku pertama, pasukan Iran menyamakan kedudukan mereka dengan Malaysia pada minit ke-24. Jaringan tersebut dilakukan oleh Ghorbani Maziar dengan bantuan daripada Keyhanfar Jalal dan Bahri Arman. Suku kedua perlawanan itu berakhir dengan jaringan gol keempat Iran pada minit ke-39 oleh Bagheri Danial.
Pada suku ketiga perlawanan antara Malaysia dengan Iran, pasukan Iran berjaya melepasi gawang Malaysia untuk menjaringkan sebanyak tiga gol. Gol kelima dijaringkan oleh Houshidari Farzad pada minit ke-44 dan diikuti dengan gol keenam pada minit ke-52 oleh Ghafoori Arshia. Gol terakhir bagi pasukan Iran dijaringi oleh Heidari Amir pada minit ke-57.
Untuk pengetahuan, pasukan hoki ais lelaki negara akan bertemu pasukan Singapura hari ini (Selasa, 8 Mac 2022) pada jam 6.30 petang nanti.
Jom Like, Komen, Share, Follow dan Subscribe semua platform media sosial mySukanTV untuk dapatkan info sukan yang terkini.