lavinesh

NUR SHAZRIN & KHAIRULNIZAM MENGHARUMKAN NAMA MALAYSIA DI ABU DHABI

NUR SHAZRIN & KHAIRULNIZAM MENGHARUMKAN NAMA MALAYSIA DI ABU DHABI

March 8, 2022 4:53 am

ABU DHABI, 8 Mac 2022 – Dua atlet pelayaran tanah air telah berjaya mengharumkan nama Malaysia pada Kejohanan Pelayaran Asia 2022 yang telah berlangsung di Kelab Sukan Marin Abu Dhabi, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dari 27 Februari hingga 6 Mac 2022 lalu. Nur Shazrin Mohamad Latif meraih pingat emas bagi acara laser radial wanita ILCA 6, manakala Khairulnizam Mohd Afendy berjaya merebut pingat perak bagi acara laser standard lelaki ILCA 7.

Keputusan bagi acara laser radial wanita ILCA 6 menyaksikan Nur Shazrin berjaya mengutip 9 mata bersih yang menempatkannya di kedudukan teratas. Tempat kedua jatuh kepada Nethra Kumanan dari India yang mengumpulkan sebanyak 17 mata bersih, manakala Nancy Highfield dari Hong Kong yang mengutip 27 mata bersih.

Di samping itu, dalam acara laser standard lelaki ILCA 7, antara 31 pesaing dalam acara tersebut, Khairulnizam berjaya merebut pingat perak dengan mengumpul 21 mata bersih. Tempat pertama dinobatkan kepada Vishnu Saravanan dari India dengan 16 mata bersih, manakala Nicholas Bezy dari Hong Kong mendapat tempat ketiga dengan 26 mata bersih.

Dr. Malav Shroff, Presiden Persekutuan Pelayaran Asian (ASAF) telah menyatakan bahawa persaingan antara atlet semasa kejohanan tersebut adalah sangat tinggi disebabkan oleh kebanyakan peserta ialah atlet yang telah bertanding dan juga juara bagi acara tersebut pada temasya Sukan Olimpik Tokyo 2020 lalu. Beliau menggesa anak-anak muda untuk menceburi sukan ini kerana mereka mempunyai keupayaan untuk mencapai kejayaan di peringkat tertinggi.

Jom Like, Komen, Share, Follow dan Subscribe semua platform media sosial mySukanTV untuk dapatkan info sukan yang terkini.

#MySukanTV #BeritaSukan #KejohananPelayaranAsian2022 #Pelayaran #AtletNegara #AbuDhabi #UAE

Sumber : Asian Sailing Federation & BERNAMA

Sumber Gambar : Majlis Sukan Negara