KEJUARAAN DUNIA IIHF 2022: MALAYSIA KALAH KEPADA SINGAPURA DI KYRGYZSTAN
KEJUARAAN DUNIA IIHF 2022: MALAYSIA KALAH KEPADA SINGAPURA DI KYRGYZSTAN
March 9, 2022 8:44 am
BISHKEK, 9 Mac 2022 – Perjuangan pasukan hoki ais lelaki negara dalam Kejuaraan Dunia Persekutuan Hoki Ais Antarabangsa (IIHF) 2022 Bahagian IV berakhir setelah kekalahan mereka kepada pasukan Singapura 2-8 pada perlawanan semalam. Walaupun pasukan tanah air telah kalah sebanyak tiga kali berturut-turut, namun pengalaman yang pasukan tersebut mendapat daripada penyertaan mereka dalam kejuaraan ini adalah amat penting bagi mengembangkan kemahiran dan daya kompetitif mereka ke tahap yang lebih tinggi.
Perlawanan antara Malaysia dengan Singapura bermula dengan jaringan gol oleh Lee Bryan Shao Herng dari Singapura pada minit ke-4. Jaringan pendahuluan tersebut dibantu oleh rakan sepasukan Lee iaitu Hamnett Matthew dan Redden Ethan. Pada minit ke-13, Mohammad Hariz menjaringkan gol penyamaan bagi pasukan Malaysia. Tetapi, hampir tiga minit kemudian, Tan Jiaju Ryan dari Singapura menjaringkan gol kedua pasukan tersebut untuk merebut balik pendahuluan gol daripada Malaysia.
Pada suku kedua perlawanan itu, sekali lagi Redden Ethan berjaya menyempurnakan pukulan Chew Wee pada minit ke-31 untuk menjaringkan gol ketiga pasukannya. Percubaan Muhammad Fareez Afdlin pada minit ke-33 berjaya membuahkan hasil untuk merapatkan jurang gol dengan Singapura. Namun, jurang tersebut diluaskan apabila Chan Joshua menjaringkan gol keempat Singapura pada minit ke-35 sebelum suku kedua perlawanan berakhir.
Pasukan Singapura berjaya memukul empat jaringan gol dalam suku terakhir perlawanan tersebut. Gol kelima Singapura dijaringkan oleh Wong Christopher pada minit ke-45. Chan Joshua berjaya menjaringkan gol keduanya pada minit ke-50. Redden Ethan menjaringkan gol keduanya pada minit ke-53 dan diikuti dengan jaringan ketiganya pada minit ke-59.
Jom Like, Komen, Share, Follow dan Subscribe semua platform media sosial mySukanTV untuk dapatkan info sukan yang terkini.