FARAH ANN MAHU ANJURKAN KEJOHANAN GIMNASTIK DEMI MELAHIRKAN BAKAT BARU
FARAH ANN MAHU ANJURKAN KEJOHANAN GIMNASTIK DEMI MELAHIRKAN BAKAT BARU
March 15, 2022 3:06 am
KUALA LUMPUR, 15 Mac 2022 – Setelah berita yang mengejutkan komuniti gimnastik tanah air mengenai pengumuman persaraan Farah Ann Abdul Hadi, ratu gimnastik negara, terdapat dua cadangan yang dikemukakan sendiri oleh beliau dalam sidang media yang berlangsung semalam bagi memartabatkan sukan tersebut di negara ini.
Cadangan pertama yang dikemukakan oleh Farah Ann adalah untuk menganjurkan Piala Farah Ann iaitu sebuah kejohanan gimnastik yang akan memainkan peranan penting sebagai platform untuk mengetengahkan atlet muda tanah air. Tujuan utama penganjuran Piala Farah Ann adalah untuk mencungkil bakat atlet muda tanah air dan untuk mengembangkan bakat mereka ke arah mewakili negara di temasya sukan terbesar dunia iaitu Sukan Olimpik.
Farah Ann berkata, “Saya tahu gimnastik semakin dikenali dan berharap bertemu dengan kanak-kanak serta ibu bapa mereka di seluruh negara untuk berkongsi pengetahuan. Mudah-mudahan, saya dapat menganjurkan kejohanan seperti Biles Invitational di Amerika Syarikat, yang dimiliki oleh juara Olimpik Rio 2016 Simone Biles. Insya-Allah, Piala Farah Ann akan sampai ke peringkat antarabangsa, siapa tahu.”
Untuk pengetahuan, pada masa kini, Farah Ann akan berjumpa dengan Persekutuan Gimnastik Malaysia (MGF) dan Majlis Sukan Negara dan berbincang mengenai cara mengendalikan pertandingan, perkara mengenai kerjasama dan juga penajaan untuk merealisasikan kejohanan Piala Farah Ann ini yang dicadangkan untuk berlangsung pada tahun depan.
Sementara itu, cadangan kedua yang dikemukakan oleh Farah Ann adalah untuk mengadakan kem gimnastik pada akhir tahun ini. Kem gimnastik ini bertujuan untuk beliau mencurahkan ilmunya dalam sukan tersebut kepada generasi muda.
Jom Like, Komen, Share, Follow dan Subscribe semua platform media sosial mySukanTV untuk dapatkan info sukan yang terkini.