MELBOURNE, 16 Mac 2022 – Aaliyah Yoong Hanifah, atlet luncur air negara telah beraksi di luar jangkaan dengan meraih satu pingat emas dan satu pingat gangsa dalam kategori terbuka wanita pada kejohanan Moomba Masters yang telah berlangsung dari 9 hingga 14 Mac 2022 di Sungai Yarra, Victoria, Australia.
Setelah merangkul sebanyak tiga pingat emas dan satu pingat gangsa dalam kategori remaja pada minggu lalu, Aaliyah kembali dengan penuh semangat untuk beraksi dalam kategori terbuka bagi acara yang diadakan pada hujung minggu lepas.
Aaliyah mendapat tempat ketiga dengan mengumpulkan sebanyak 7,050 mata bagi acara ‘trick’ wanita. Tempat teratas jatuh kepada Neilly Ross dari Kanada dengan 10,390 mata dan diikuti oleh Erika Lang dari Amerika Syarikat di tempat kedua dengan 10,260 mata. Kemenangan pingat gangsa bagi acara ini memberi hadiah wang tunai sebanyak AUD3,500 dan ini merupakan kemenangan hadiah wang tunai yang pertama beliau terima sepanjang menyertai acara luncur air profesional.
Sementara itu, bagi acara ‘jump’ wanita, Aaliyah telah berjaya menduduki tempat keempat dengan lompatan sejauh 39.1m dan telah menerima hadiah wang tunai sebanyank AUD2,000. Juara dunia dan pemegang rekod dunia, Jacinta Carrol dari Australia raih pingat emas dengan lompatan 58.5m diikuti oleh Valentina Gonzalez dari Chile mendapat pingat perak dengan lompatan 45.7m, manakala, Casey Wooderson dari Australia meraih pingat gangsa dengan lompatan 43m.
Usaha dan semangat Aaliyah untuk beraksi pada tahap tertinggi ternyata membuahkan hasil apabila beliau dinobatkan sebagai juara keseluruhan dalam kategori terbuka wanita dengan 2,668.52 mata. Valentina Gonzalez dari Chile mendapat 2,323.40 mata dan Courtney Williams dari New Zealand mengumpul sebanyak 2,082.85 mata.
Aaliyah berkata, “Ini Kejohanan Moomba Masters terbaik pernah saya sertai. Apa yang pasti minggu ini cukup luar biasa buat saya dan kemuncaknya sudah tentu apabila menduduki tempat ketiga dalam acara ‘trick’ terbuka wanita, yang merupakan kedudukan podium peringkat dunia pertama saya bagi kategori terbuka.”
“Saya juga gembira kerana berjaya melakukan dua lompatan peribadi terbaik berturut-turut iaitu 39.1m dan 41.4m bagi kategori remaja, sekali gus memecah rekod kebangsaan dua kali dalam tempoh dua hari. Saya sangat gembira dengan prestasi saya di sini dan ini tentu meningkatkan lagi keyakinan saya pada masa depan,” tambah beliau.
Di samping itu, Hanifah Yoong, Ketua Jurulatih Persekutuan Ski Air dan Papan Luncur Malaysia (MWWF) berkata, “Ini adalah ujian terbaik pada usianya sekarang dan beliau membuktikan daya saingnya di peringkat dunia dengan memasuki pusingan akhir bagi acara ‘trick’ dan ‘jump’ dalam kategori terbuka. Aaliyah juga membuktikan beliau semakin berdikari dan boleh menguruskan acaranya sendiri selepas pergi ke Melbourne bersendirian.”
Jom Like, Komen, Share, Follow dan Subscribe semua platform media sosial mySukanTV untuk dapatkan info sukan yang terkini.