SUKAN KOMANWEL : TIGA EMAS SASARAN PABM DI BIRMINGHAM
SUKAN KOMANWEL : TIGA EMAS SASARAN PABM DI BIRMINGHAM
March 16, 2022 4:40 am
KUALA LUMPUR, 16 MAC 2022 – Sasaran tiga pingat emas diletakkan oleh Persatuan Angkat Berat Malaysia (PABM) pada Sukan Komanwel Birmingham 2022 dari 28 Julai hingga 8 Ogos yang mana tugas itu akan digalas oleh tujuh atlet yang telah berjaya melayakkan diri ke temasya tersebut.
Menurut presiden PABM, Datuk Ayub Rahmat, penstrukturan semula barisan kejurulatihan serta atlet sejak awal tahun ini dilihat merupakan kunci dan jalan kepada sasaran tersebut setelah skuad negara dibubar pada Oktober tahun lalu.
“Apabila pasukan ini dibubar pada Oktober lepas, kita ada pasukan ad hoc dan sementara melibatkan tiga atlet yang dihantar ke Uzbekistan untuk kelayakan sukan Komanwel, dengan dua daripadanya telah layak. Lima lagi atlet turut dihantar ke satu kejohanan di Singapura dan kesemua mereka layak secara merit.
“Kita menyasarkan sekurang-kurangnya tiga pingat emas menerusi Mohamad Aniq Kasdan bagi kategori 55 kilogram (kg), Muhammad Aznil Bidin (61kg) dan Muhammad Erry Hidayat (73kg),” jelas beliau.
Ayub juga berjanji bahawa dirinya akan memastikan isu doping tidak lagi menghantui badan sukan itu setelah pindaan perlembagaan persatuan dan tindakan tegas yang dikenakan terhadap pihak terbabit.
Jom Like, Komen, Share, Follow dan Subscribe semua platform media sosial mySukanTV untuk dapatkan info sukan yang terkini.