haziq

ALL ENGLAND 2022 : NASIB BERBEZA DIHADAPI 14 WAKIL NEGARA

ALL ENGLAND 2022 : NASIB BERBEZA DIHADAPI 14 WAKIL NEGARA

March 17, 2022 4:58 am

BIRMINGHAM, 17 MAC 2022 – Nasib berbeza dihadapi oleh 14 wakil negara dalam Kejohanan Badminton Seluruh England semalam menyaksikan penyandang juara, Lee Zii Jia mudah melepasi pusingan pertama dengan menewaskan wakil Jepun, Kenta Nishimoto 21-16, 21-17 dalam masa 43 minit.

Langkah kanan itu turut diikuti oleh pasangan beregu lelaki utama negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik yang menundukkan Christopher Grimley-Matthew Grimley dari Scotland 21-14, 21-19 dalam aksi 36 minit.

Sementara itu, juara Terbuka Jerman Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani terpaksa menerima hakikat mereka ‘pulang awal’ selepas tewas kepada pasangan China, He Ji Ting-Tan Qiang 21-15, 19-21, 21-11 selain satu lagi pasangan beregu lelaki negara, Man Wei Chong-Tee Kai Wun tumpas kepada pilihan ketiga, Takuro Hoki-Yugo Kobayashi dari Jepun 21-17, 18-21, 23-21.

Turut sama kecundang pasangan beregu campuran Goh Soon Huat-Shevon Lai yang tewas kepada pasangan Denmark, Mathias Thyrri-Amalie Magelund 21-18, 21-16 manakala beregu lelaki negara, Tan Kian Meng-Tan Wee Kiong tunduk kepada Ben Lane-Sean Vendy dari England 21-14, 22-20.

Sedikit keceriaan dilihat dalam kem negara apabila gandingan ke-15 dunia bagi acara beregu wanita, Pearly Tan-Thinaah M berjaya menundukkan pasangan Brazil, Jaqueline Lima-Samia Lima 21-8, 21-12 namun Vivian Hoo-Lim Chiew Sien tewas kepada Kim Soyeong-Kong Heeyong dari Korea Selatan, 21-9, 21-12.

Pasangan beregu campuran baharu, Ong Yew Sin-Goh Liu Ying pula tidak berdepan masalah mara ke pusingan kedua dengan menewaskan pasangan dari England, Callum Hemming-Jessica Pugh 17-21, 21-17, 21-11.

Turut mara gandingan Hoo Pang Ron-Cheah Yee See menundukkan  pasangan dari India, Venkat Prasad-Juhi Dewangan 21-9, 21-13.

Manakala, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing, pasangan beregu campuran professional negara berhempas pulas menang ke atas gandingan dari Indonesia, Adnan Maulana-Mychelle Bandaso, 21-14, 13-21, 21-16.

Terdahulu pemenang pingat gangsa Kejuaraan Dunia 2021, Ong Yew Sin-Teo Ee Yi turut mara ke pusingan kedua dengan menewaskan pasangan tuan rumah, Callum Hemming-Steven Stallwood 21-14, 21-12.

Jom Like, Komen, Share, Follow dan Subscribe semua platform media sosial mySukanTV untuk dapatkan info sukan yang terkini.

#MySukanTV #BeritaSukan #BeritaTempatan #AllEngland2022 #BWFWorldTour

Sumber : BAM

Sumber Gambar : BAM / Badminton Photo