SHAH ALAM, 18 MAC 2022 – Dengan misi utama iaitu membudayakan sukan dalam kalangan masyarakat disamping mencungkil bakat baharu di peringkat akar umbi, hari ini Kementerian Belia dan Sukan (KBS) melancarkan Malaysia Sports League (MSL) 2022.
Sebanyak lima jenis sukan iaitu futsal, bola jaring, badminton, sepak takraw dan bola keranjang akan dimainkan peringkat daerah, negeri dan kebangsaan yang mana Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu jelaskan pihaknya menyasarkan penyertaan 140,000 orang bagi edisi pertama tahun ini.
“Jabatan Belia dan Sukan Negara (JBSN) akan mengaktifkan 15 Jabatan Belia dan Sukan Negeri (JBS negeri) dan 122 Pejabat Belia dan Sukan Daerah di seluruh negara dengan sokongan badan sukan setempat yang berdaftar di bawah Pejabat Pesuruhjaya Sukan (PPS).
“Bagi memastikan Malaysia tidak kering dengan penyambung legasi arena sukan negara maka semua pihak perlu menggembleng tenaga secara proaktif dan saya percaya Malaysia tidak akan ketandusan permata baharu berdasarkan populasi lebih kurang 33 juta orang.
“Pelaksanaan MSL akan membudayakan sukan dalam kalangan masyarakat sekali gus seiring dengan kehendak kehidupan di waktu pandemik yang banyak menjejaskan kerancakkan sukan di Malaysia sama ada di tahap ‘Prestasi Tinggi’ mahu pun yang rendah,” jelas beliau ketika melancarkan MSL di Kompleks Sukan Shah Alam (Panasonic) petang tadi.
Esok akan bermulanya secara rasmi Malaysia Sports League (MSL) 2022 di beberapa negeri seperti Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak.
Sejurus tamat pelancaran, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu sempat meluangkan masa menyertai perlawanan persahabatan badminton dan bola sepak yang turut dimeriahkan dengan kehadiran jaguh badminton para negara, Cheah Liek Hou bersama jurulatihnya Datuk Rashid Sidek.
Jom Like, Komen, Share, Follow dan Subscribe semua platform media sosial mySukanTV untuk dapatkan info sukan yang terkini.