KUALA LUMPUR, 18 MAC 2022 – Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (PESAKA) semalam mengumumkan pihaknya mensasarkan tiga pingat emas daripada 16 acara yang bakal disertai pada Sukan SEA di Hanoi, Vietnam yang akan berlansung dari 12 hingga 23 Mei ini.
Sasaran pingat tersebut dianggap realistik menurut Presiden PESAKA, Datuk Megat Zulkarnain Omardin biarpun ia kelihatan kecil namun akan memberikan keadilan kepada Majlis Sukan Negara (MSN) dalam penjumlahan keseluruhan pingat.
“Biarlah sasaran tidak tinggi namun yang penting kita boleh capai. Kita tidak mahu bermain dengan angka kerana PESAKA mesti adil kepada MSN yang akan buat perkiraan jumlah pungutan pingat secara keseluruhan nanti.
“Insya-Allah, kita akan pastikan bawa balik tiga pingat emas untuk Malaysia namun sekiranya dapat lebih ia bonus bagi kami,” jelas beliau semalam.
Difahamkan, tugasan merangkul tiga pingat emas itu bakal diletakkan di atas bahu bekas juara dunia, Mohamad Hazim Amzad (C Putra), Mohd Al Juferi Jamari (F Putra) dan Siti Rahmah Mohamed Nasir (F Putri).
PESAKA akan menghantar keseluruhan 22 atlet ke temasya dwitahunan tersebut yang mana 10 daripadanya adalah atlet silat olahraga dan 12 lagi pesilat seni bersama masing-masing tiga pegawai dan jurulatih.
“Bagi silat olahraga, tujuh atlet bertanding di bawah kategori A (kos ditanggung sepenuhnya) dan tiga bagi kategori B (kos dipulangkan jika memenangi pingat) manakala silat seni pula menyaksikan tujuh di bawah kategori A serta lima di bawah kategori B,” tambah beliau.
Berikut adalah senarai akhir pesilat negara yang akan mewakili Malaysia pada Sukan SEA ke-31 di Hanoi, Vietnam:
Silat Olahraga – Muhammad Khairi Adib Azhar (B Putra), Mohamad Hazim Amzad (C Putra), Ahmad Atif Irsyad Ahmad Zahidi (D Putra), Mohd Al Juferi Jamari (F Putra), Mohd Fauzi Khalid (G Putra), Mohammad Amiruddin Adzmi (H Putra), Muhammad Robial Sobri (J Putra), Billage Anak Nakang (Bebas Putra), Siti Shazwana Ajak (E Putri), Siti Rahmah Mohamed Nasir (F Putri)
Silat seni – Luqman Laji (Tunggal Putra), Nur Syafiqah Hamzah (Tunggal Putri), Muhamad Taqiuddin Hamid (Ganda Putra), Sazzlan Yuga (Ganda Putra), Nor Hamizah Abu Hassan (Ganda Putri), Nur Syazreen A Malik (Ganda Putri), Muhammad Syafiq Ibrahim (Regu Putra), Nashrul Edzam Mohd Asri (Regu Putra), Mohd Shukrillah Badrilah (Regu Putra), Fatin Ardani Zamri (Regu Putri), Siti Nur Khairunnisa Hail (Regu Putri), Merrywati Manuil (Regu Putri).
Jom Like, Komen, Share, Follow dan Subscribe semua platform media sosial mySukanTV untuk dapatkan info sukan yang terkini.