IPOH, 21 Mac 2022 – YB Dato’ Seri Ahmad Faizal bin Dato’ Azumu, Menteri Belia dan Sukan telah mengumumkan bahawa Le Tour de Langkawi (LTdL) akan kembali dianjurkan bermula 11 hingga 18 Jun 2022 setelah dibatalkan pada edisi lepas berikutan pandemik COVID-19 pada majlis pengumuman yang diadakan di Klebang Restu, Ipoh.
LTdL jelas berada di kelas tersendiri dengan berstatus Pro Series, iaitu setakuk di bawah kategori tertinggi Siri Jelajah Dunia UCI iaitu Tour de France, Giro d’Italia, Vuelta Espana, sharingan Klasik serta perlumbaan Jelajah Dunia lain.
Sejak bermula pada 1996 dengan kategori 2.6, LTdL menjadi gelanggang pilihan pasukan dan pelumba profesional termasuk dari negara kuasa besar sukan berbasikal seperti Itali, Perancis, Sepanyol, Jerman, Britain dan negara Eropah lain.
Untuk pengetahuan, nama-nama besar seperti bekas juara Tour de France Egan Bernal, legenda Itali Andrea Tafi, bekas juara dunia Paolo Bettini, Alessandro Pettachi, Floyd Landis, Chris Horner, Julia Perez, Rinaldo Nocentini, Jan Koerts, Stuart O’Grady, Thomas Voeckler, Gabriele Missaglia, Steven Kruijswijk dan pakar pecut Caleb Ewan dari Australia pernah mewarnai edisi-edisi LTdL sebelum ini.
Edisi LTdL 2022 ini akan melibatkan lapan peringkat sejauh 1,183 km. Peringkat-peringkat tersebut adalah seperti berikut:
Peringkat 1: Kuala Lumpur – Kuala Pilah
Peringkat 2: Kuala Klawang – Raub
Peringkat 3: Putrajaya – Genting Highlands
Peringkat 4: Kuala Selangor – Tambun
Peringkat 5: Kuala Kangsar – Kulim
Peringkat 6: Georgetown – Alor Setar
Peringkat 7: Kuah – Gunung Raya, Langkawi
Peringkat 8: Kuah – Langkawi Loop
Majlis pengumuman tersebut turut dihadiri oleh Dato’ Jana Santhiran Muniayan, Ketua Setiausaha KBS; Tuan Mohd Azhari Mohammad, Ketua Pengarah JBSN; Dato’ Amarjit Singh Gill, Naib Presiden PKBM; dan Shahaizereen Abd Hamid, Ketua Pegawai Operasi Human Voyage.
Jom Like, Komen, Share, Follow dan Subscribe semua platform media sosial mySukanTV untuk dapatkan info sukan yang terkini.