haziq

SUKAN SEA : PMM INTAI RANGKUL EMAS DI HANOI

SUKAN SEA : PMM INTAI RANGKUL EMAS DI HANOI

March 21, 2022 4:58 am

PENGKALAN CHEPA, 21 MAC 2022 – Biarpun beberapa kategori ‘lubuk emas’ telah dibuang oleh tuan rumah namun Persatuan Muaythai Malaysia (PMM) melaungkan keyakinan bahawa mereka mampu menyumbang pingat emas buat negara dalam temasya Sukan Sea Vietnam, Mei ini.

Atlet kelahiran Kelantan, Nor Iman Alif Rakib yang beraksi untuk kategori 54 kilogram (kg) dinamakan sebagai sandaran utama menurut Presiden PMM, Datuk Shahnaz Azmi sewaktu sidang media Kejohanan Muaythai Elit Kebangsaan 2022 di Pusat Tarbiah Islamiah Kelantan (Putik) Pengkalan Chepa yang berakhir semalam.

“Tuan rumah (Vietnam) telah membuang beberapa kategori yang sebelum ini menjadi ‘lubuk’ emas buat kontijen negara seperti kategori 45 kg; 48 kg dan 51 kg.

“Alhamdulillah setakat ini PMM tidak pernah gagal dalam sasaran pungutan pingat.

“Cuma tahun ini saya tidak berani letak jumlah sasaran sebab banyak perancangan tergendala akibat pandemik Covid-19 selama dua tahun,” jelas beliau.

Difahamkan, hanya kategori 54 kg; 57 kg dan 60 kg akan dipertandingkan pada aksi Sukan Sea kali ini namun PMM telah merangka strategi terbaik dalam merangkul pingat emas.

Sementara itu, Kejohanan Muaythai Elit Senior & Junior Kebangsaan tahun ini menyaksikan Persatuan MuayThai negeri Johor muncul Juara keseluruhan dengan kutipan 8 pingat emas, 4 perak dan 6 gangsa manakala naib juara jadi milik Persatuan MuayThai Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur yang mengutip 7 emas, 6 perak dan 7 gangsa.

Jom Like, Komen, Share, Follow dan Subscribe semua platform media sosial mySukanTV untuk dapatkan info sukan yang terkini.

#MySukanTV #BeritaSukan #BeritaTempatan #MuayThaiMalaysia #kejohananelitseniorjuniorkebangsaan2022

Sumber : Sinar Harian

Sumber Gambar : LION WARRIOR MUAYTHAI CLUB