KUALA LUMPUR, 22 MAC 2022 – Menjelang kempen Piala Thomas 2022 di Bangkok, Thailand pada Mei depan, Pengarah Kejurulatihan (Beregu) Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Rexy Mainaky mahu barisan pemain beregu negara kembali bangkit dan bekerja lebih keras susulan prestasi yang dipamerkan pada Seluruh England minggu lalu.
“Sudah tentu barisan kejurulatihan menilai prestasi pemain beregu kita pada Seluruh England. Hasil penilaian banyak ‘kerja rumah’ yang harus dibuat sebelum mereka beraksi pada Piala Thomas nanti.
“Kami akan gunakan penilaian prestasi setiap pemain di Birmingham untuk lihat bagaimana kami boleh lakukan untuk mempersiapkan mereka menghadapi Piala Thomas di Bangkok.
“Apa pun kami masih mempunyai masa untuk memperbaiki setiap kelemahan yang dikenal pasti. Tempoh masa yang ada ini akan digunakan sebaik mungkin,” jelas beliau.
Pencapaian barisan pemain beregu negara boleh dikatakan ‘below par’ selepas gandingan Aaron Chia-Soh Wooi Yik tersingkir di pusingan kedua manakala Nur Izzuddin Rumsani-Goh Sze Fei turut pulang awal di pusingan pertama biarpun hadir dengan reputasi juara Terbuka Jerman.
Bagaimanapun, Rexy memberi pujian ke atas prestasi beregu muda, Man Wei Chong-Tee Kai Wun yang terkandas di pusingan pertama dalam aksi ‘debut’ mereka di pentas itu bersama beregu muda wanita negara, Pearly Tan-M Thinaah yang berjaya mara sehingga peringkat suku akhir.
“Pearly dan Thinaah telah beraksi dengan cukup baik pada Seluruh England kali ini dan mereka perlu meneruskan prestasi cemerlang itu pada kejohanan akan datang.
“Bagaimanapun, ada beberapa aspek yang perlu diperbaiki Pearly dan Thinaah di atas gelanggang untuk menjadikan mereka sebagai pasangan beregu yang digeruni lawan,” tambah beliau.
Untuk rekod, kali terakhir beregu negara berjaya meraih Kejuaraan All England adalah pada tahun 2007 menerusi gandingan Koo Kien Keat-Tan Boon Heong sebelum pasangan Aaron Chia-Soh Wooi Yik cuba mengulanginya pada tahun 2019 namun tewas di Final kepada beregu Indonesia.
Jom Like, Komen, Share, Follow dan Subscribe semua platform media sosial mySukanTV untuk dapatkan info sukan yang terkini.