haziq

MOTOGP KEKAL DI SEPANG SEHINGGA 2024

MOTOGP KEKAL DI SEPANG SEHINGGA 2024

March 24, 2022 4:03 am

KUALA LUMPUR, 24 MAC 2022 – Peminat sukan permotoran tempatan khasnya bagi Kejuaraan Dunia Grand Prix Motosikal (MotoGP) pastinya lega dengan pengumuman Litar Antarabangsa Sepang (SIC) bahawa pusingan di Malaysia akan kekal dalam kalendar sehingga 2024 yang mana PETRONAS terus menjadi penaja utama perlumbaan itu.

Mulai tahun ini juga, ia akan dikenali sebagai GRAND PRIX MALAYSIA PETRONAS menurut kenyataan daripada pemegang hak MotoGP Dorna Sports menyaksikan SIC juga sudah mula berbincang untuk melanjutkan perjanjian hingga 2026.

Perlumbaan tahun ini dijadual berlangsung pada 21-23 Oktober selepas dua musim iaitu 2020 dan 2021 dibatalkan berikutan pandemik COVID-19 tatkala SIC telah menganjurkan 20 GP sejak 1999.

Ketua Pegawai Eksekutif Dorna Sports Carmelo Ezpeleta berkata, keghairahan luar biasa peminat yang memenuhi tempat duduk grandstand di Sepang merupakan faktor utama litar itu menjadi pasaran penting MotoGP.

“Selepas terbukti dapat kembali ke Malaysia untuk ujian pramusim tahun ini, kami lebih bersemangat untuk kembali dan berlumba. Kami semua menantikan Grand Prix Malaysia dan melihat peminat kami di Malaysia untuk banyak musim lagi.

“Kami juga berbangga dapat menjalinkan kerjasama dengan PETRONAS, jenama yang sinonim dengan kecemerlangan dan kejayaan, dan duta hebat untuk Malaysia di persada dunia.

“Tiada yang lebih baik sebagai penaja utama untuk Grand Prix Malaysia selain daripada satu nama yang menjadi lambang dalam sukan permotoran. Kami tidak sabar untuk melihat jenama ikonik ini mendapat pengiktirafan teratas pada acara itu,” jelas beliau dalam satu kenyataan semalam.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif SIC Azhan Shafriman Hanif juga akui beliau amat teruja dengan penganjuran tahun ini disamping menghamburkan ucapan penghargaan kepada pihak yang terlibat dalam memastikan proses lanjutan kontrak berjalan lancar.

“Dengan rekod penonton yang dicatatkan sentiasa meningkat setiap tahun, kami tidak sabar untuk menyambut kedatangan penonton kembali ke Sepang selepas dua tahun tidak dapat berbuat demikian berikutan pandemik. Selaras dengan tema kami #WelcomeHome, tahun ini adalah mengenai kebangkitan sukan permotoran antarabangsa dengan tawaran lebih unik kepada peminat,” tambahnya.

Pengurus Besar Kanan Komunikasi Strategik Kumpulan PETRONAS Datin Anita Azrina Abdul Aziz turut berbesar hati dengan penajaan gelaran untuk GP Malaysia yang mana ia memberi peluang Petronas untuk berhubung dengan peminat sukan itu melalui pameran jenama serta produk mereka.

Jom Like, Komen, Share, Follow dan Subscribe semua platform media sosial mySukanTV untuk dapatkan info sukan yang terkini.

#MySukanTV #BeritaSukan #BeritaTempatan #MotoGP2022 #SepangCircuit #SIC #Petronas #MalaysianGP

Sumber : Litar Antarabangsa Sepang (SIC)

Sumber Gambar : Litar Antarabangsa Sepang (SIC)