KUALA LUMPUR, 28 Mac 2022 – Kejuaraan PocketGP 2022 anjuran Persatuan Pocket Bike Malaysia (PAM) telah membuka tirai bagi pusingan sulungnya semalam di MATIC, Jalan Ampang, Kuala Lumpur. Kejuaraan tersebut menyaksikan penyertaan seramai 40 peserta yang berusia antara 6 hingga 31 tahun.
Mohammad Ikram Dani bin Mohammad Esa telah muncul sebagai juara bagi kategori PocketGP Beginner dengan catatan masa 3:01.287 minit. Tempat kedua diraih oleh Adam Hariz B. Hafiz dengan catatan masa 3:02.293 minit, manakala Muhammad Aidil Zariff bin Zainal menempat di tempat ketiga dengan catatan masa 3:08.827.
Bagi kategori PocketGP Expert U17, gelaran juara jatuh kepada Qabil Irfan bin Azlan dengan catatan masa 2:53.153 minit dan Muhammad Airel Ahmad Marzuki di tempat kedua dengan catatan masa 2:55.450 minit. Manakala, Qayyim Razin bin Razali berjaya merebut tempat ketiga dengan catatan masa 2:59.913.
Kategori PocketGP Rookie U9 menyaksikan persaingan hebat antara Muhammad Al-Adam Mikail bin Abdul Hafiz yang telah muncul sebagai juara dengan catatan masa 3:22.043 minit dan Muhammad Arash Al-Qawsar di tempat kedua dengan catatan masa 3:23.397 minit. Tempat ketiga jatuh kepada Wan Aryan Mikhail bin Wan Mohd dengan catatan 3:26.747 minit.
Sementara itu, Kategori PocketGP Novice U12 telah dibahagikan kepada dua kumpulan. Juara bagi kumpulan A adalah Qabil Irfan bin Azlan diikuti dengan tempat kedua oleh Muhammad Airel Ahmad Marzuki dan di tempat ketiga direbut oleh Mohammad Ikram Dani bin Mohammad Esa. Dalam kumpulan B, Rayqarl Alhayy bin Mohd Rahidi dinobatkan sebagai juara dan Muhammad Al-Adam Mikail bin Abdul Hafiz di tempat kedua. Tempat ketiga diraih oleh Muhammad Irish Shazwan bin Mohd Afran.
Di samping itu, bagi kategori PocketGP Open Master (18 tahun ke atas) menyaksikan Muhammad Adib bin Rosley meraih tempat pertama dan diikuti oleh Abdul Lamat bin Abdul Manan di tempat kedua, manakala Pairus Zami menempat di tempat ketiga.
Upacara perasmian hadiah disempurnakan oleh Dato’ Haji Zainuddin Abdul Wahab, Ketua Pengarah Tourism Malaysia dan diiringi oleh En Mohd Zamri, Timbalan Ketua Setiausaha (Pelancongan), Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Cik Sharmila Nadarajah, Ketua Pegawai Eksekutif Motorsports Association of Malaysia (MAM) dan Puan Sajadi, wakil FG Walet Bird’s Nest.
En. Akhtar Ayub, Presiden PAM dan Pengasas PocketGP berkata, “Kami telah mendapat sambutan yang sangat baik dan banyak sokongan daripada ibu bapa dari setiap negeri. Harapan PAM adalah untuk menerima sokongan daripada semua pihak seperti Kementerian Belia dan Sukan (KBS), MAM, MOTAC dan juga sponsor-sponsor di luar untuk bersama kami di pusingan seterusnya yang bakal diadakan selepas Hari Raya Aidilfitri nanti.”
“Penubuhan persatuan ini (PAM) adalah untuk dijadikan sebagai payung untuk mencungkil bakat anak muda dari peringkat akar umbi. Jika dibandingkan dengan negara luar, kita tidak jauh dengan negara barat, jadi peluang kita untuk mendapat bakat yang berkualiti memang ramai di negara kita,” tambah beliau.
Kejuaraan tersebut turut dihadiri dan menerima sokongan daripada Kingz Motorcycle Group, sebuah kumpulan motosikal yang mempromosikan menunggang motosikal dan memperbaiki “imej biker” serta menyokong komuniti penunggang motosikal dan acara tempatan.
Harry, Pengasas Kingz Motorcycle Group berkata, “Kami menyokong PocketGP kerana terdapat ramai penunggang baharu yang terdiri daripada kanak-kanak. Kami di sini adalah untuk menyokong dan menunjukkan kepada mereka mengapa kami mahu mereka berlumba di platform yang betul. Kami berharap bahawa apabila mereka menjadi dewasa, mereka akan tahu tempat yang betul untuk berlumba dan cara menunggang motosikal dengan cara yang betul dalam persekitaran yang selamat.”
“Saya berharap bahawa rakyat Malaysia akan lebih menyokong industri sukan sebegini kerana kita kekurangan pelumba dan juga kekurangan kejohanan perlumbaan dua roda di Malaysia. Kita perlukan bantuan daripada syarikat swasta dan kerajaan untuk menganjurkan kejohanan permotoran untuk mencungkil dan mengembangkan bakat muda baharu.”
Jom Like, Komen, Share, Follow dan Subscribe semua platform media sosial mySukanTV untuk dapatkan info sukan yang terkini.