KUALA TERENGGANU, 30 MAC 2022 – Menakjubkan. Itulah ayat yang paling sesuai digambarkan buat seorang lelaki Orang Kurang Upaya (OKU) yang berjaya menamatkan saingan Kapas – Marang Swimathon 2022, Sabtu lalu sejauh 6.5 kilometer (km) dari Pulau Kapas ke Pantai Kelulut, Marang.
Muhammad Zhariff Afandi, berusia 40 tahun membuktikan ketidakupayaan diri bukan penghalang untuknya bersaing sama seperti orang normal yang lain selepas didorong oleh semangatnya yang jitu.
“Saya berenang dengan jiwa. Memang susah tapi perlu ada semangat yang kuat. Bukan hanya dalam renang tetapi setiap pekerjaan yang dilakukan perlu ada semangat.
“Saya rasa sangat sukar untuk meneruskan renang tetapi nekad mencuba yang terbaik.
“Tiada apa yang saya fikirkan ketika berenang dan hanya bergerak ke depan. Saya mula bertenang apabila penat dan mengingat kembali niat meneruskan cabaran ini. Alhamdulillah saya berjaya,” jelas beliau yang berasal dari Petaling Jaya, Selangor.
Muhammad Zhariff mengambil masa selama 4 jam 20 minit untuk menamatkan saingan itu dan ianya terlalu lama berbanding rekod 2 jam 57 minit yang dibuat pada tahun 2012 namun kali ini rekod tercipta pada usia 40 tahun.
“Mungkin sebab faktor usia dan persediaan mempengaruhi pencapaian saya kali ini. Apabila sudah menjangkau usia 40 tahun, saya sudah tidak selaju dulu. Kekuatan otot juga mungkin sudah berkurangan.
“Tambahan pula, saya mengambil keputusan menyertai cabaran ini pada saat akhir iaitu tiga hari sebelum pertandingan. Pada 2012 saya ambil masa sebulan untuk berlatih dan waktu itu saya berjaya mendapat tempat ke 56,” tambah Muhammad Zhariff yang dilahirkan tanpa kedua belah tangan.
Difahamkan, Kelab Renang AMMJB Elite Swimmer merupakan penganjur kepada sukan renang lasak bertaraf antarabangsa itu yang mula diadakan sejak tahun 2005 dan semakin popular dalam kalangan rakyat Malaysia bermula tahun 2014.
Kira-kira 200 peserta mengambil bahagian dalam acara tahun ini terdiri daripada perenang tempatan dan luar negara seperti Singapura, Scotland, Amerika Syarikat dan Kanada.
Jom Like, Komen, Share, Follow dan Subscribe semua platform media sosial mySukanTV untuk dapatkan info sukan yang terkini.