KUALA LUMPUR, 31 MAC 2022 – Selewat-lewatnya minggu depan akan diketahui status penyertaan Malaysia dalam Sukan Para ASEAN di Solo, Indonesia selepas perbincangan antara Lembaga Gabenor (BOG) Persekutuan Sukan Para ASEAN (APSF) dan Majlis Sukan Negara (MSN).
Ketika ini, berikutan penularan COVID-19 maka Vietnam telah menarik diri sebagai penganjur edisi ke-11 dan temasya itu bakal diadakan di Solo dari 23 hingga 30 Julai ini.
Presiden Majlis Paralimpik Malaysia (MPM), Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin dalam satu kenyataan semalam berkata, Malaysia akan memutuskan status penyertaan di Solo berdasarkan keputusan satu mesyuarat BOG APSF yang dimohon untuk diadakan pada minggu pertama April.
“Dua hari lalu, saya dapat email dan panggilan telefon dari APSF di mana keputusan daripada kerajaan Indonesia itu sendiri belum lagi ada hitam putih samada mereka akan mengendali atau menganjurkan sukan itu.
“Kami dapat maklumat, empat negara tidak menghantar senarai nama (atlet) dan tidak akan menghantar pasukan iaitu Brunei, Vietnam, Laos dan Kemboja ke Solo. Bukan kita tak mahu menyertai tetapi kerana perancangan yang tidak teratur dan di saat-saat akhir dan terbukti sehingga sekarang, tidak ada lagi hitam putih daripada kerajaan Indonesia samada sukan di Solo ini boleh dianjurkan,” jelas beliau.
Difahamkan, kira-kira 200 atlet telah disenaraikan dalam kontinjen Malaysia untuk ke Solo namun keputusan akhir akan tetap bergantung kepada status penganjuran.
Jom Like, Komen, Share, Follow dan Subscribe semua platform media sosial mySukanTV untuk dapatkan info sukan yang terkini.