haziq

SUKAN SEA : EIZLAN INTAI EMAS DI HANOI

SUKAN SEA : EIZLAN INTAI EMAS DI HANOI

April 1, 2022 4:35 am

KUALA LUMPUR, 1 APRIL 2022 – Legasi yang ditinggalkan oleh jaguh lompat tinggi negara, Lee Hup Wei akan terisi selepas ini dengan kemunculan atlet meningkat naik, Eizlan Dahalan yang mahu merebut pingat dalam Sukan SEA Hanoi, Mei depan sekali gus mengekalkan reputasi Malaysia sebagai kuasa besar Asia Tenggara dalam acara itu. 

Eizlan menunjukkan prestasi yang cemerlang sewaktu Kejohanan Olahraga Tertutup Kebangsaan pada Disember lepas yang mana beliau berjaya merangkul pingat emas dengan catatan 2.14 meter lantas mengatasi Hup Wei.

“Setakat ini, saya tidak meletakkan jangkakan daripada segi catatan kerana macam-macam boleh berlaku pada ketika itu,” jelas atlet berusia 22 tahun itu.

“Saya harap dapat melakukan yang terbaik untuk mendapatkan catatan peribadi terbaik saya kerana saya yakin dapat melakukan catatan yang lebih baik dalam pertandingan itu.

“Seperti yang kita tahu, lompat tinggi merupakan sukan yang mampu menyumbangkan pingat emas buat negara dan ia dikekalkan dalam edisi lalu.

“Itu adalah cabaran buat kami, terutama ia adalah edisi pertama saya mewakili Malaysia.

Eizlan yang kini berlatih secara bersendirian di Sabah berharap dapat mengekalkan prestasi dan akan menjalani latihan secara konsisten iaitu dengan menyertai program latihan kebangsaan di Majis Sukan Negara (MSN) yang masih belum kunjung tiba setakat ini.

Untuk rekod, Lee Hup Wei sudah merangkul empat pingat emas Sukan SEA iaitu pada edisi 2007, 2009, 2011 dan 2019 manakala seorang lagi jaguh negara, Nauraj Singh, merangkul emas bagi edisi 2013, 2015 dan 2017.

Jom Like, Komen, Share, Follow dan Subscribe semua platform media sosial mySukanTV untuk dapatkan info sukan yang terkini.

#MySukanTV #BeritaSukan #BeritaTempatan #SukanSEAVietnam2022 #DemiMalaysia #KontinjenMalaysia #KOM

Sumber : Stadium Astro

Sumber Gambar : Eizlan Dahalan