KUALA LUMPUR, 1 APRIL 2022 – 25 April depan akan ketahui sasaran akhir kontinjen Malaysia di Sukan SEA di Hanoi, Vietnam menurut Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Senator Datuk Seri Ti Lian Ker selepas ianya akan diperhalusi menerusi bengkel penetapan sasaran yang akan berlangsung pertengahan bulan ini.
Beliau berkata demikian sewaktu sesi soal jawab persidangan Dewan Negara semalam yang mana bengkel penetapan tersebut akan melibatkan beberapa pihak berkaitan antaranya Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Majlis Sukan Negara (MSN) dan ketua jurulatih serta pengurus sukan.
“Sasaran akhir kontinjen Malaysia di Sukan SEA di Hanoi, Vietnam akan diumumkan secara rasmi oleh Menteri Belia dan Sukan dalam majlis penyerahan Jalur Gemilang pada 25 April nanti,” jelas beliau yang menjawab soalan tambahan Senator Datuk Mohd Hisamudin Yahaya berkenaan sasaran pingat Malaysia menjelang Sukan SEA Hanoi.
Terdahulu, sasaran awal yang ditetapkan bersama Persatuan Sukan Kebangsaan adalah 79 pingat secara keseluruhan merangkumi 31 bagi pingat emas, 19 perak dan 29 gangsa namun pengukuran prestasi kontinjen negara tidak boleh bersandarkan kepada pingat dipertandingkan memandangkan tuan rumah menggugurkan beberapa jenis sukan yang merupakan ‘lubuh emas’ negara.
“Sukan dan acara kekuatan Malaysia yang tidak akan dipertandingkan adalah basikal trek, bowling padang, pelayaran, hoki dan skuasy,” tambah beliau.
Jom Like, Komen, Share, Follow dan Subscribe semua platform media sosial mySukanTV untuk dapatkan info sukan yang terkini.