BUKIT JALIL, 1 APRIL 2022 – Aksi final Piala Hoki TNB 2022 yang penuh dramatik semalam menyaksikan impian pasukan Terengganu Hockey Team (THT) untuk melakar kejuaraan ‘treble’ musim ini musnah selepas mereka tumpas 2-3 kepada pasukan Hoki Tenaga Nasional Berhad (TNB).
Perlawanan yang berlangsung di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil malam tadi dimulakan dengan dominasi oleh pasukan TNB menerusi dua jaringan oleh Syed Mohamad Syafiq Syed Cholan dan Muhammad Shahril Saabah pada minit ke-18 serta minit ke-39.
Selepas itu aksi sengit mulai bertambah menyaksikan Muhammad Marhan Mohd. Jalil dan Ismail Abu menyumbat gol penyamaan buat THT pada minit 49 dan 50.
Kedua-dua pasukan kemudiannya saling berbalas serangan namun rezeki tampak berpihak kepada TNB selepas Muhammad Amirul Hamizan Azhar muncul sebagai ‘hero’ menjaringkan gol kejuaraan buat TNB pada minit 60.
Kemenangan itu pastinya amat bermakna buat pasukan TNB selepas terlepas dua gelaran musim ini iaitu Piala Sumbangsih dan Liga Hoki Malaysia (LHM) kepada pasukan THT.
Sementara itu, perlawanan penentuan tempat ketiga dan keempat juga berlakunya kejutan selepas Maybank tumpas mengejut kepada UiTM HA menerusi penentuan penalti ‘shoot out’ selepas kedua-dua pasukan terikat 2-2.
Jom Like, Komen, Share, Follow dan Subscribe semua platform media sosial mySukanTV untuk dapatkan info sukan yang terkini.