haziq

DEAFLYMPICS 2022 : MALAYSIA SASAR BAWA PULANG 1 PINGAT EMAS

DEAFLYMPICS 2022 : MALAYSIA SASAR BAWA PULANG 1 PINGAT EMAS

April 4, 2022 3:53 am

KUALA LUMPUR, 4 APRIL 2022 – Malaysia akan mengambil bahagian buat kali ke keenam dalam temasya Deaflympics yang akan berlangsung dari 1 hingga 15 Mei ini di Caxias do Sul, Brazil.

Penyertaan Malaysia dalam temasya itu sejak 1993 di Sofia, Bulgaria menyaksikan kini kontinjen negara menyasarkan untuk membawa pulang satu pingat emas sekali gus mengulangi pencapaian di Itali pada 2001.

Sama seperti Sukan Olimpik, Deaflympics diadakan setiap empat tahun dan edisi pertama telah diadakan seawal tahun 1924 di Paris yang mana turut masuk ke dalam sejarah sebagai acara sukan antarabangsa pertama untuk atlet kurang upaya.

Bagi edisi tahun ini, seramai 5,000 Atlet Pekak dari 117 Negara dijangka mengambil bahagian dalam 20 jenis sukan.

Menurut Chef De Mission merangkap Presiden Persatuan Sukan Pekak Malaysia (MSDeaf), Ong Shin Ruenn, atlet pekak negara akan bertanding dalam empat sukan – olahraga, badminton, berbasikal dan Karate dengan kontinjen kali ini disertai 29 orang.

“Bagi kontinjen Malaysia, kami menyasarkan satu pingat emas daripada lima sukan, iaitu dalam badminton perseorangan wanita kerana pada 2017 di Turki, dia meraih perak dalam acara beregu campuran dan pemain itu, Wei Ying akan bersama kita pada tahun ini.

“Kami meletakkan satu sasaran saja kerana bukan mudah untuk memasuki Deaflympics kerana ia adalah satu pertandingan tertinggi di dunia.

“Walaupun kami meletak satu sasaran emas dalam sukan badminton namun untuk sukan lain juga, kami harap atlet lain juga berjaya terutama olahraga dan berbasikal,” tambah beliau.

Untuk rekod, pencapaian terbaik kontinjen negara adalah pada tahun  2001 menerusi pingat emas disumbangkan oleh Zana Azizul Ujang dalam acara 110 meter (m) berpagar lelaki selain tiga perak – kesemuanya dalam sukan badminton.

Terdahulu, KDYMM Pemangku Raja Pahang Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ Ayatuddin Al – Mustafa Billah Shah telah mencemar duli berangkat ke Majlis Penyerahan Jalur Gemilang kepada Ketua Kontinjen Malaysia, Ong Shin Ruenn bertempat di Royal Chulan hotel, Kuala Lumpur pada Khamis lalu.

Turut hadir dimajlis tersebut ialah Timbalan Menteri KBS, YB. Senator Ti Lian Ker termasuk tiga Penasihat MSDeaf Datuk Naim Mohamad, Dato Sri Azzuddin Ahmad dan Dato Sri Jamil Saleh.

Jom Like, Komen, Share, Follow dan Subscribe semua platform media sosial mySukanTV untuk dapatkan info sukan yang terkini.

#MySukanTV #BeritaSukan #BeritaTempatan #Deaflympics2022 #MSDeaf #DemiMalaysia

Sumber : Malaysian Deaf Sports Association

Sumber Gambar : Asiana.my