KUALA LUMPUR, 4 APRIL 2022 – Atlet pecut remaja wanita negara, Fatin Ilyana Mat Nayan akui beliau tidak akan berputus asa untuk terus bersinar dalam sukan olahraga biarpun namanya tercicir daripada menyertai kontinjen negara ke Sukan SEA Hanoi, Mei ini.
Sejak minggu lalu, nama pelari berusia 19 tahun itu heboh diperkatakan yang mana nama beliau tidak disenaraikan dalam kuartet 4×100 meter wanita biarpun mempunyai catatan masa yang lebih baik berbanding atlet yang dipilih.
Penjelasan juga telah dibuat oleh pihak Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) yang menyatakan catatan masa 11.97 saat (s) yang dirakamkan Fatin sewaktu Kuala Lumpur All Comers, minggu lalu adalah selepas tarikh kelayakan dan pendaftaran untuk Sukan SEA.
4 nama dihantar KOM iaitu Zaidatul Husniah Zulkifli yang merekodkan catatan terbaiknya 11.62s bersama tiga lagi pelari, Nor Sarah Adi, Azreen Nabila Alias dan Nur Aisyah Rofina Aling.
“Secara jujurnya, saya kecewa dan berasa sedih sangat. Segala usaha saya untuk cuba melayakkan diri ke temasya Sukan Sea musnah.
“Namun, saya akan cuba kembali bangkit untuk terus mencipta nama dalam sukan olahraga yang mula diceburi sejak usia saya sembilan tahun,” jelas beliau.
Jom Like, Komen, Share, Follow dan Subscribe semua platform media sosial mySukanTV untuk dapatkan info sukan yang terkini.