KUALA LUMPUR, 6 April 2022 – Skuad Piala Dunia Remaja Wanita Kebangsaan yang sedang beraksi dalam Kejohanan Hoki FIH Piala Dunia Remaja Wanita yang berlangsung di Potchefstroom, Afrika Selatan telah ditewaskan oleh pasukan India 0-4 pada peringkat Kumpulan D.
Walaupun skuad tersebut telah kalah pada perlawanan tersebut, tetapi Nasihin Nubli Ibrahim, pengendali Skuad Piala Dunia Remaja Wanita Kebangsaan berkata, “Saya gembira kerana pemain menunjukkan peningkatan dalam satu perlawanan demi satu perlawanan. Pemain telah berusaha keras dan memberikan aksi terbaik mereka tetapi India pasukan yang sangat bagus.”
Pada perlawanan tersebut, India telah menjaringkan gol pertama pada minit ke-10 menerusi gol padang Mumtaz Khan. Berselang seminit kemudian, Sangita Kumari menjaringkan gol kedua pasukan India juga hasil gol padang dan seminit sebelum aksi separuh masa pertama berakhir, India menambah gol ketiga mereka juga berpunca dari gerakan padang kali ini menerusi Lalrindiki untuk skuad bimbingan Erik Wonink menuju ke rehat separuh masa pertama dengan kelebihan. Jaringan gol keempat India telah dicipta oleh Mumtaz Khan sekali lagi pada seminit sebelum perlawanan sebenar tamat.
Untuk pengetahuan, kedudukan terakhir Skuad Piala Dunia Remaja Wanita Kebangsaan dalam peringkat kumpulan akan hanya diketahui selepas pertemuan antara Jerman dan Wales berakhir. Mereka juga akan mengetahui pasukan yang mereka bakal menghadapi dalam pusingan penentuan kedudukan ke-9 hingga ke-16 kejohanan nanti.
Jom Like, Komen, Share, Follow dan Subscribe semua platform media sosial mySukanTV untuk dapatkan info sukan yang terkini.