lavinesh

MCA NAFI KENYATAAN MSN MENGENAI ISU KINRARA OVAL

MCA NAFI KENYATAAN MSN MENGENAI ISU KINRARA OVAL

April 7, 2022 1:59 am

KUALA LUMPUR, 7 April 2022 – Susulan kenyataan yang dikeluarkan oleh Majlis Sukan Negara (MSN) mengenai isu pusat latihan Persatuan Kriket Malaysia (MCA) di Kinrara Oval, MCA telah membalas dengan pengeluaran kenyataan yang menjelaskan situasi sedang melanda persatuan itu.

Untuk pengetahuan, pihak MCA telah dibenarkan untuk menggunakan Kinrara Oval iaitu tanah milik Perumahan Kinrara Berhad secara pajakan sejak 2003 bagi menjalankan latihan dan pertandingan MCA. MSN menyatakan bahawa MCA dibenarkan menggunakan tanah tersebut dengan syarat menanggung kos bersama pembinaan awal Kinrara Oval selain MCA bertanggungjawab membayar cukai tanah dan cukai taksiran pihak berkuasa tempatan.

Mohammed Iqbal Ali Kassim Ali, Presiden MCA melalui kenyataan yang dikeluarkan dalam laman Facebook rasmi MCA berkata, “Pihak MCA ingin menyatakan bahawa semua pembayaran terhadap kos bersama pembinaan awal Kinrara Oval telah dibuat kepada Perumahan Kinrara Berhad (PKB) dan dengan itu menafikan kenyataan yang dikeluarkan oleh MSN ini.”

“Kami ingin memaklumkan bahawa pada 15 Feb 2019, satu kenyataan media daripada Menteri Belia dan Sukan ketika itu menyatakan bahawa Criket Malaysia boleh kekal di Kinrara Oval sehingga satu masa mesyuarat diadakan antara PKB, KBS dan MCA untuk mendapatkan keputusan yang baik untuk perkara ini. Mesyuarat tersebut masih tidak diadakan sehingga kini.”

“MCA kemudiannya telah menghantarkan beberapa surat kepada KBS dan pejabat Perdana Menteri serta Menteri Belia & Sukan sekarang. Oleh itu, MCA terkejut apabila mengetahui bahawa MSN tidak sedak mengenai surat-surat tersebut,” tambah beliau.

Mengenai venue alternatif di Universiti Multimedia Malaysia (MMU), Cyberjaya yang dinyatakan oleh MSN untuk MCA bagi menyambungkan usaha mereka membangunkan sukan tersebut, MCA menyatakan bahawa pihaknya tidak menerima apa-apa surat tawaran ataupun cadangan rasmi daripada kedua-dua pihak tersebut.

Komuniti sukan kriket Malaysia mengharapkan bahawa isu tersebut dapat diselesaikan dalam masa terdekat dengan kerjasama daripada semua pihak yang terlibat bagi memastikan pembangunan sukan kriket di Malaysia tidak terjejas.

Jom Like, Komen, Share, Follow dan Subscribe semua platform media sosial mySukanTV untuk dapatkan info sukan yang terkini.

#MySukanTV #BeritaSukan #MCA #MSN #TeamKBS #PKB #KinraraOval #kriket

Sumber : Malaysian Cricket Association & BERNAMA

Sumber Gambar : Malaysian Cricket Association