KUALA LUMPUR, 8 April 2022 – Perkembangan perjuangan Skuad Piala Dunia Remaja Negara dalam Kejohanan Hoki FIH Piala Dunia Remaja Wanita di Potchefstroom, Afrika Selatan telah menyaksikan mereka mengatasi pasukan Uruguay 2-1 untuk mara ke pusingan penentuan kedudukan tempat ke-9 hingga ke-12.
Pada aksi tersebut, pasukan Uruguay berjaya mendapat jaringan pendahuluan menerusi pukulan sudut penalti ketiga mereka iaitu Elisa Civetta pada minit ke-35. Namun, jaringan gol itu tidak menghancurkan semangat skuad negara untuk bangkit.
Hasilnya, Malaysia berjaya bangkit untuk mencipta dua jaringan gol padang dalam tempoh seminit iaitu minit ke-53 dan minit ke-54 setelah Siti Nur Arfah Mohd Nor dan Nuramirah Shakirah Zulkifli menyudahkan gol hasil gerakan padang.
Nasihin Nubli Ibrahim, Ketua Jurulatih Skuad Piala Dunia Remaja Negara berkata, “Kami barisan kejurulatihan amat berbangga dengan balasan yang diberikan oleh pemain-pemain iaitu kemenangan. Usaha, semangat dan keazaman tidak mahu menyerlah kalah telah ditunjukkan oleh pemain-pemain hari ini dan kredit harus diberikan kepada setiap pemain kerana telah menunjukkan peningkatan daripada satu perlawanan ke satu perlawanan seperti yang mereka janjikan.”
“Kami akan terus mempersiapkan diri dengan lebih baik lagi untuk mengharungi baki perlawanan yang tinggal,” jelas beliau.
Untuk pengetahuan, Malaysia akan bertemu Ireland esok pada jam 9.45 malam bagi perlawanan penentuan kedudukan tempat ke-9 hingga ke-12.
Jom Like, Komen, Share, Follow dan Subscribe semua platform media sosial mySukanTV untuk dapatkan info sukan yang terkini.