haziq

SKUAD MEMANAH RECURVE & COMPOUND NEGARA PUNYAI MISI SAMA

SKUAD MEMANAH RECURVE & COMPOUND NEGARA PUNYAI MISI SAMA

April 8, 2022 3:40 am

KUALA LUMPUR, 8 APRIL 2022 – Demi memastikan barisan pemain negara berada dalam keadaan sedia sebelum menyertai temasya Sukan SEA Hanoi, Vietnam bulan depan, dua kejohanan simulasi di peringkat domestik masing-masing pada 13 hingga 15 April dan 20 hingga 22 April akan jadi medan pemanas badan.

Kejohanan anjuran Persatuan Memanah Kebangsaan Malaysia (NAAM) dengan kerjasama MSN itu akan berlangsung di Lapang Sasar Memanah Majlis Sukan Negara (MSN) di Bukit Jalil.

Menurut jurulatih memanah recurve negara, Muhammad Marbawi Sulaiman, tujuan utama adalah untuk menilai prestasi semasa dan mempersiapkan atlet dari segi mental terutama berkenaan aspek psikologi di mana kita akan jalankan kejohanan simulasi sama seperti jadual yang telah ditetapkan di Sukan SEA nanti.

“Jadual kejohanan itu akan bermula dari pusingan kelayakan hingga ke pusingan penyingkiran dan semua acara dipertandingkan di Sukan SEA nanti akan turut ada di kejohanan simulasi,” jelas beliau dalam sidang media Kontinjen Malaysia ke Sukan SEA Hanoi di MSN semalam.

Sasaran dua pingat emas diletakkan kepada skuad ini menerusi acara lelaki berpasukan dan individu lelaki yang akan diketuai oleh jaguh memanah negara, Khairul Anuar Mohamad bersama Muhammad Zarif Syahiir Zolkepeli dan atlet junior, Bryson Ting serta Mohamad Firdaus Mohd Rusmadi.

Sementara itu, skuad memanah compound negara turut mensasarkan dua pingat emas di Hanoi nanti menerusi acara berpasukan dan individu lelaki yang mana Mohd Juwaidi Mazuki akan menjadi sandaran utama dalam misi itu.

Skuad memanah compound negara ke Sukan SEA Hanoi dibarisi Mohd Juwaidi, Alang Ariff Aqil Muhammad Ghazalli, Mohamad Syafiq Md Ariffin dan Wong Co Wan bagi kategori lelaki sementara Fatin Nurfatehah Mat Salleh, Iman Aisyah Norazam, Nur Aina Yasmine Halim dan Kayalvhily bagi kategori wanita.

Jom Like, Komen, Share, Follow dan Subscribe semua platform media sosial mySukanTV untuk dapatkan info sukan yang terkini.

#MySukanTV #BeritaSukan #BeritaTempatan #Hanoi2021 #SeaGames2021 #SukanSEA2021 #Memanah #Recurve #Compound

Sumber : Majlis Sukan Negara (MSN)

Sumber Gambar : National Archery Association of Malaysia