haziq

SUKAN SEA : PREM KUMAR IDAM EMAS DALAM KATEGORI BAHARU

SUKAN SEA : PREM KUMAR IDAM EMAS DALAM KATEGORI BAHARU

April 11, 2022 3:26 am

KUALA LUMPUR, 11 APRIL 2022 – Hadir dengan reputasi pemenang pingat emas acara kumite 55kg pada edisi 2019 di Filipina, kini atlet karate negara, S. Prem Kumar mensasarkan untuk melakukan perkara yang sama dalam kategori 60 kilogram (kg) bagi temasya Sukan SEA Vietnam di Hanoi Mei depan.

Keyakinan itu diluahkan sendiri oleh Prem Kumar yang mengakui persiapan serta latihan yang dilakukannya pada ketika ini mampu membuahkan hasil biarpun cabaran daripada negara lain termasuk Thailand, Vietnam dan Kemboja dilihat mampu menggugat sasarannya.

“Pada edisi kali ini, saya beralih ke acara kumite 60kg berbanding 55kg sebelum ini. Saya belum tahu sepenuhnya mengenai cabaran dalam acara tersebut tetapi harapan adalah untuk dapatkan pingat emas.

“Kategori 60kg memang sukar kerana banyak negara boleh berikan cabaran termasuk tuan rumah Vietnam, Thailand serta Kemboja. Bagaimanapun, saya harap boleh berikan aksi terbaik di sana nanti,” jelas atlet berusia 28 tahun itu.

Kejayaan meraih dua pingat emas di 9th South East Asian Karate Championship 2022 hujung bulan lalu juga dilihat sebagai medan persiapan terbaik buat dirinya menjelang temasya di Hanoi nanti

“Baru-baru ini kami ada menyertai satu kejohanan ujian yang merupakan pra-Sukan SEA kerana Kemboja akan jadi tuan rumah Sukan SEA 2023 nanti. Ia boleh dijadikan sebagai pentas untuk saya menilai prestasi diri,” tambah beliau.

Jom Like, Komen, Share, Follow dan Subscribe semua platform media sosial mySukanTV untuk dapatkan info sukan yang terkini.

#MySukanTV #BeritaSukan #BeritaTempatan #Hanoi2021 #SeaGames2021 #SukanSEA2021 #Karate

Sumber : Kosmo

Sumber Gambar : Malaysia Karate