lavinesh

KONTINJEN MALAYSIA SASAR KELOMPOK TIGA TERATAS SUKAN SEA

KONTINJEN MALAYSIA SASAR KELOMPOK TIGA TERATAS SUKAN SEA

April 12, 2022 2:34 am

KUALA LUMPUR, 12 April 2022 – Menjelang temasya Sukan SEA Hanoi 2021 yang bakal bermula dalam 30 hari lagi, Dato’ Paduka Nur Azmi Ahmad, Ketua Kontinjen (CDM) ke Malaysia bagi temasya itu telah mengadakan peninjauan persiapan pasukan Terjun, Renang, Gimnastik Artistik, Gimnastik Berirama dan Wushu semalam. Beliau diiringi oleh Puan Afrita Ariany Nasril, Timbalan Ketua Kontingen serta pegawai dari Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Majlis Sukan Negara (MSN) dan Institut Sukan Negara (ISN).

Semasa sidang media selepas peninjauan beliau di Bukit Jalil itu, Nur Azmi menjelaskan bahawa sasaran Kontinjen Malaysia dalam temasya Sukan SEA Hanoi 2021 ini adalah untuk berada dalam kelompok tiga teratas dari segi jumlah pungutan pingat. Beliau juga berharap agar atlet-atlet Kontinjen Malaysia akan berusaha untuk mencapai sasaran awal yang dikemukakan oleh Senator Datuk Seri Ti Lian Ker, Timbalan Menteri Belia dan Sukan iaitu 31 pingat emas.

Pasukan Terjun negara yang terdiri daripada 13 atlet terjun (8 lelaki, 5 wanita) dan 4 pegawai (4 lelaki, 1 wanita) akan diketuai oleh Datuk Leong Mun Yee OLY. Pasukan Terjun mensasarkan untuk mengutip pingat emas pertama bagi Kontinjen Malaysia pada 8 May 2022 nanti.

Puan Tan Chin Chin akan mengetuai pasukan Renang negara yang terdiri daripada 14 atlet (11 lelaki, 3 wanita) dan 3 pegawai (2 lelaki, 1 wanita). Pasukan Renang yang kini menjalani program latihan di bawah bimbingan Chris Martin, komited untuk mempamerkan prestasi terbaik mereka lalu menyumbangkan pingat untuk Kontingen Malaysia.

Sementara itu, pasukan Gimnastik Artistik yang terdiri daripada 10 atlet (6 lelaki, 4 wanita) dan 4 pegawai (3 lelaki, 1 wanita) diketuai oleh En. Fong Kok Seng. Untuk pengetahuan, pasukan Gimnastik Artistik Lelaki (MAG) berpangkalan di Baku, Azerbaijan pada ketika ini. Terdapat juga beberapa atlet pasukan MAG dan Gimnastik Artistik Wanita (WAG) yang berada di bawah selian gimnas legenda, Ng Shu Wai OLY, berpangkalan di Gimnasium 2, Majlis Sukan Negara.

Manakala, bagi pasukan Gimnastik Berirama yang terdiri daripada 9 atlet wanita dan 4 pegawai wanita diketuai oleh Puan Toh Ai Lee. Untuk pengetahuan, pasukan tersebut akan menyertai Kejohanan Litar Piala Dunia Gimnastik Berirama FIG yang dijadual berlangsung pada 22 hingga 24 April di Baku, Azerbaijan sebelum menuju ke Vietnam.

Akhir sekali, pasukan Wushu negara terdiri daripada 11 atlet (7 lelaki, 4 perempuan) dan 4 pegawai lelaki diketuai oleh Encik Chong Fook Yan, Penolong Setiausaha Agung Persekutuan Wushu Malaysia (WFM). Untuk pengetahuan, atlet pasukan Wushu berpangkalan di Majlis Sukan Negara kecuali 3 atlet lelaki dan 1 pegawai disiplin Sanda yang sedang menjalani latihan di Pusat Wushu Sanda di Seremban. Pasukan Wushu dijangka menyumbangkan beberapa pungat untuk Kontinjen Malaysia dalam temasya Sukan SEA.

Jom Like, Komen, Share, Follow dan Subscribe semua platform media sosial mySukanTV untuk dapatkan info sukan yang terkini.

#MySukanTV #BeritaSukan #MOM #MSN #ISN #SukanSEA #Hanoi2021 #Vietnam #atlet #sasaran #pingat

Sumber : Majlis Olimpik Malaysia & BERNAMA

Sumber Gambar : Majlis Olimpik Malaysia