haziq

PIALA THOMAS 2022 : SENARAI PEMAIN BELUM DIMUKTAMADKAN – HENDRAWAN

PIALA THOMAS 2022 : SENARAI PEMAIN BELUM DIMUKTAMADKAN – HENDRAWAN

April 13, 2022 4:59 am

KUALA LUMPUR, 13 APRIL 2022 – Menjelang kejohanan Piala Thomas 2022 yang akan membuka tirainya bermula 8 Mei depan, jurulatih perseorangan lelaki negara, Hendrawan berpendapat sekurang-kurangnya lima pemain perseorangan lelaki perlu dibawa ke Bangkok, Thailand.

Difahamkan, cadangan itu dipengaruhi oleh keputusan Persekutuan Badminton Dunia (BWF) yang memberikan pengecualian kepada semua pasukan untuk mempunyai 12 pemain bagi Piala Thomas dan Uber berbanding 10 sebelum ini susulan Covid-19.

“Sampai hari ini masih pilih siapa akan main, kita perlu tunggu keputusan Pengarah Kejurulatihan Perseorangan BAM Wong Choong Hann dan Pengarah Kejurulatihan Beregu Rexy Mainaky.

“Katanya 12 orang boleh disenaraikan…ini bermakna sekurang-kurangnya perseorangan lelaki ada lima, kalau kelmarin ada empat…dengan lima pemain akan ada lebih banyak pilihan,” jelas beliau.

Keputusan BWF itu juga dilihat dapat memberikan  lebih banyak pilihan kepada barisan kejurulatihan untuk menyenaraikan pemain terbaik untuk membawa cabaran negara di kejohanan berprestij itu.

Sementara itu, Pengarah Kejurulatihan Beregu Rexy Mainaky berkata beliau mahu membawa enam pemain untuk skuad beregu negara dan selebihnya bergantung kepada keputusan kem perseorangan.

Malaysia diundi dalam Kumpulan D bagi edisi tahun ini bersama juara 2014 yang juga pilihan kedua, Jepun serta England dan New Zealand.

Jom Like, Komen, Share, Follow dan Subscribe semua platform media sosial mySukanTV untuk dapatkan info sukan yang terkini.

#MySukanTV #BeritaSukan #BeritaTempatan #PialaThomas2022 #ThomusCup2022

Sumber : Bernama

Sumber Gambar : BWF