KUALA LUMPUR, 13 APRIL 2022 – Sasaran pingat emas diidamkan oleh atlet jujitsu negara, Adam Akasyah dalam temasya Sukan SEA Hanoi, Mei depan tatkala beliau kini dalam persiapan rapi selepas mengharungi kem latihan pusat sejak tujuh minggu lalu.
Atlet berusia 22 tahun itu akui pengalamannya beraksi di peringkat antarabangsa amat berbaloi dan memberikanya keyakinan untuk merebut pingat emas selepas memperoleh pingat gangsa kategori lelaki bawah (B) – 69 kilogram (kg) pada edisi lalu.
“Sasaran pasukan adalah perak tapi sasaran peribadi saya untuk menang emas. Saya dah banyak menyertai pertandingan di peringkat antarabangsa dan berjaya mengatasi peserta Sukan SEA yang lain, jadi meletakkan keyakinan untuk meraih emas.
“Persediaan (kali ini) baik, kami telah melakukan latihan pergerakan dan untuk diri sendiri, bertuah kerana mempunyai pakar pemakanan, Jadi insya-ALLAH saya cuba yang terbaik,” jelas beliau sewaktu sidang akhbar skuad jujitsu di Majlis Sukan Negara (MSN) semalam.
Juara bertahan dari Thailand, Banpot Lertthaisong dan pemenang emas kategori B-62kg, Noah Lim dari Singapura dilihat sebagai ancaman utama buat Adam bagi temasya kali ini.
Sementara itu, seorang lagi atlet negara iaitu Cassandra Poyong akui beliau turut mahu mendapatkan keputusan lebih baik di Hanoi nanti selepas meraih pingat perak kategori B-62kg wanita bagi edisi lalu.
“Pada 2019 kami tidak menjangkakan apa-apa namun saya pulang dengan perak, jadi kali ini kami mahu menjadi lebih baik daripada 2019. Kami mahu menunjukkan kepada dunia bahawa Malaysia juga mempunyai sinar dalam Sukan SEA, kami telah menjalani latihan untuknya,” katanya.
Pengurus pasukan, Sharizal Md Sidek sahkan skuad jujitsu negara meletakkan sasaran dua perak dan empat gangsa bagi edisi kali ini selepas meraih sebutir perak dan dua gangsa di Filipina pada 2019.
Selain Adam dan Cassandra, skuad jujitsu negara kali ini turut dibarisi atlet lelaki Thew Chin Hong (B-62kg) dan Mohd Fouzein Mohd Fozi (B-56kg) serta atlet wanita Bless Yeap (B-48kg) dan Ariel Thomas (B-45kg)
Jom Like, Komen, Share, Follow dan Subscribe semua platform media sosial mySukanTV untuk dapatkan info sukan yang terkini.