lavinesh

SUKAN SEA: CORAK PEMINYAKAN MAIN PERANAN BESAR – HOLLOWAY CHEAH

SUKAN SEA: CORAK PEMINYAKAN MAIN PERANAN BESAR – HOLLOWAY CHEAH

April 13, 2022 7:03 am

KUALA LUMPUR, 13 April 2022 – Semasa sidang media Kontinjen Malaysia ke temasya Sukan SEA Hanoi 2021 yang telah berlangsung semalam di Majlis Sukan Negara, Bukit Jalil, skuad boling negara yang diketuai oleh Holloway Cheah menjelaskan bahawa sasaran skuad kebangsaan akan dimuktamadkan apabila maklumat lanjut mengenai corak peminyakan venue boling diumumkan kelak.

Pada masa kini, beliau diberitahu bahawa corak peminyakan hanya akan diumumkan sebulan sebelum acara boling pertama bermula iaitu 15 May, jadi mereka akan mengetahui maklumat tersebut dalam masa yang terdekat.

Hal ini adalah amat penting terhadap strategi dan sasaran skuad kebangsaan kerana Vietnam bukan sebuah negara yang sinonim dengan sukan boling dan mereka tidak menganjurkan kejohanan peringkat tinggi. Pastinya hal ini akan menyukarkan skuad boling kebangsaan untuk menampilkan prestasi terbaik di sana nanti.

Beliau berkata, “Namun, pelbagai kemungkinan corak peminyakan akan digunakan telah saya kaji berdasarkan pengalaman selain kesemua atlet sedang giat memperkemaskan balingan mereka. Kita perlu menunggu supaya kita mendapat gambaran betul dalam mempersiapkan atlet.”

Beliau juga menjelaskan bahawa skuad boling kebangsaan akan berlepas lima hari sebelum sukan itu berlangsung bagi menyesuaikan diri dengan venue yang diadakan di Royal City Hanoi.

Untuk pengetahuan, skuad boling kebangsaan dianggotai Shahrukh Amin Zulkifli, Hafiz Zainuddin, Syazirol Shamsudin, Nevern Netaneel Marcellinus Petrus, Gillian Lim, Nora Lyana Nastasia Norkamal, Nerosha Keligit dan Nur Syazwani Sahar.

Jom Like, Komen, Share, Follow dan Subscribe semua platform media sosial mySukanTV untuk dapatkan info sukan yang terkini.

#MySukanTV #BeritaSukan #MTBC #BowlingMalaysia #SEAGames #Hanoi2021 #boling

Sumber : BERNAMA & New Straits Times

Sumber Gambar : Majlis Sukan Negara