KUALA LUMPUR, 14 April 2022 – Ketika majlis berbuka puasa bersama skuad hoki kebangsaan anjuran Konfederasi Hoki Malaysia (MHC), A. Arul Selvaraj, Ketua Jurulatih Hoki Kebangsaan telah menjelaskan bahawa skuad tersebut bakal beraksi dalam siri persahabatan dengan skuad “Kookaburras’ di Perth, Australia pada 21 hingga 28 April nanti.
Tujuan siri persahabatan dengan Australia ini adalah sebagai persediaan skuad hoki lelaki kebangsaan menjelang Kejohanan Hoki Piala Asia yang dijadual berlangsung pada 23 Mei hingga 1 Jun 2022 di Jakarta, Indonesia. Beliau ingin menguji pemain skuad kebangsaan dari segi mentaliti bermain laju. Hal ini kerana skuad kebangsaan pandai bermain laju di kaki namun pasukan Australia itu lebih handal bermain laju dari segi mental.
Arul berkata, “Jadi, kita nak mereka (pasukan Australia) uji kita supaya dapat berfikir serta buat keputusan secara pantas ketika beraksi di padang, itu mis utama (siri persahabatan di Australia).”
Beliau juga menjelaskan bahawa selain ujian mental skuad hoki lelaki kebangsaan, beliau ingin menggunakan siri persahabatan itu untuk pemain negara untuk menyesuaikan diri dengan jadual padat Kejohanan Hoki Piala Asia nanti. Siri persahabatan Australia akan menyaksikan skuad kebangsaan beraksi sebanyak lima kali dalam masa seminggu di Perth. Hal ini kerana jika skuad kebangsaan mara lebih jauh di Jakarta nanti, mereka akan menghadapi jadual padat dengan sebanyak tujuh perlawanan dalam masa 10 hari.
Untuk pengetahuan, skuad hoki lelaki kebangsaan sepatutnya berlepas ke Australia semalam (Rabu, 13 April) namun masalah visa telah memaksa mereka menangguhkan tarikh pelepasan. Arul berharap masalah visa ini dapat diselesaikan dalam masa terdekat.
Jom Like, Komen, Share, Follow dan Subscribe semua platform media sosial mySukanTV untuk dapatkan info sukan yang terkini.