KUALA LUMPUR, 15 APRIL 2022 – 3 pingat emas jadi sasaran skuad silat negara pada temasya Sukan SEA di Hanoi bulan depan biarpun sedar dengan cabaran sengit yang bakal diberikan oleh pencabar seperti Thailand, Indonesia dan Vietnam.
Difahamkan, skuad silat negara yang baru sahaja selesai kem latihan pusat terakhir selama dua minggu di Langkawi baru-baru ini telah menukar strategi dan taktikal demi memenuhi kehendak sistem peraturan baharu yang mula dipraktikkan di Kejohanan Silat Asia Tenggara di Singapura pada Februari lepas.
Di sana, skuad negara menamatkan saingan di tempat keempat keseluruhan dengan dua emas, enam gangsa dan empat perak sekali gus menunjukkan corak permainan berbeza dipamerkan oleh pencabar terdekat negara.
Menurut jurulatih skuad negara, Mazlan Shaari, kem latihan di Langkawi itu digunakan oleh pihak kejurulatihan untuk melakukan penambahbaikan dalam corak permainan pesilat negara disamping menyesuaikan diri dalam sistem peraturan yang lebih terbuka dan ekstrim.
“Seperti Vietnam, mereka bermain berhati-hati. Mereka mengubah secara terus corak serangan dan apabila bertemu mereka (di Singapura), permainan mereka sudah jadi berbeza berbanding sebelumnya.
“Jadi kena ubah. Kena ubah cara bermain dengan Singapura dan Vietnam juga kena berbeza. Indonesia pula bermain secara satu demi satu. Jadi banyak perbezaan (corak permainan) dan kita cuba mengubah langkah kita ketika di Langkawi sebelum ini,” jelas beliau sewaktu sidang media Sukan SEA di Majlis Sukan Negara (MSN) semalam.
Di Hanoi nanti, 16 acara akan dipertandingkan dan skuad silat negara akan menyertai semua acara dengan sasaran 3 emas melalui acara tanding & seni.
Jom Like, Komen, Share, Follow dan Subscribe semua platform media sosial mySukanTV untuk dapatkan info sukan yang terkini.