SUKAN SEA : PINGAT GANGSA JADI IDAMAN SKUAD BERBASIKAL BUKIT NEGARA
SUKAN SEA : PINGAT GANGSA JADI IDAMAN SKUAD BERBASIKAL BUKIT NEGARA
April 20, 2022 3:57 am
KUALA LUMPUR, 20 APRIL 2022 – Pasukan berbasikal bukit kebangsaan meletakkan sasaran pingat gangsa dalam acara berpasukan berganti-ganti bagi temasya Sukan SEA Vietnam, bulan depan tatkala mereka kini dalam persiapan fasa akhir.
Menurut jurulatih skuad negara, Mohd Arif Syukri Ahmad Sabti, latihan di Tanah Rata, Cameron Highlands adalah lokasi terbaik untuk pelumba menyesuaikan diri disebabkan keadaan geografi yang mirip dengan lokasi sebenar perlumbaan di Hoa Binh.
Difahamkan, sepuluh pelumba negara yang sedang dalam persiapan fasa akhir dari 7 hingga 28 April ini rata-ratanya bakal membuat kemunculan pertama pada temasya dwitahunan itu bulan depan.
“Kalau dilihat laluan perlumbaan, ia satu trek yang agak panjang – 5 kilometer (km) untuk satu pusingan. Trek itu (Hoa Binh) juga banyak mendaki, jadi kita pilih berlatih di Tanah Rata kerana kebanyakan pelumba ada kekurangan di kawasan mendaki.
“Kami akan ke Vietnam lebih awal pada 1 Mei ini dan menyambung latihan di sana sebelum hari perlumbaan. Sasaran pingat, kita letakkan dalam berpasukan berganti-ganti. Kita nampak peluang itu ada untuk meraih pingat dalam acara berkenaan dan kita akan cuba sedaya upaya,” jelas Arif sewaktu sidang media di Majlis Sukan Negara (MSN).
Skuad negara dijangka berdepan cabaran sengit dari tuan rumah serta beberapa negara lain seperti Thailand dan Indonesia dalam perlumbaan dari 14 hingga 17 Mei ini.
Jom Like, Komen, Share, Follow dan Subscribe semua platform media sosial mySukanTV untuk dapatkan info sukan yang terkini.