SPACERUBIX, PUCHONG, 21 April 2022 – Komuniti sukan elektronik Malaysia teruja dengan pelancaran ESI Hub, hab sukan elektronik kebangsaan, oleh Esports Integrated (ESI) yang terletak di Spacerubix, Puchong. Upacara pelancaran tersebut disempurnakan oleh Puan Ramona binti Mohd Razali, Timbalan Ketua Setiausaha (Strategik) Kementerian Belia dan Sukan.
ESI Hub mempunyai sebuah Tournament Hall dan 13 bilik permainan yang boleh juga berfungsi sebagai bilik latihan atau studio mini. Pada masa kini, atlet, pemain profesional, pasukan, jurulatih, pencipta kandungan dan pemain kasual kini boleh menikmati akses kepada semua kemudahan fasiliti dan peralatan permainan terkini untuk mengembangkan bakat dan menajamkan kemahiran mereka dalam industri ini.
Hab tersebut boleh memuatkan kapasiti pengunjung seramai lebih kurang 200 orang dengan penggunaan kapasiti penuh. Bilik-bilik di hab ini boleh juga berfungsi sebagai bilik latihan atau studio mini yang dilengkapi dengan pelbagai kemudahan permainan termasuk 11 unit konsol Playstation dan 22 buah Gaming PC, sesuai untuk pelbagai kategori permainan sama ada menggunakan konsol, telefon bimbit, atau komputer.
Puan Ramona berkata, “Pembinaan ESI Hub adalah salah satu penanda aras dalam pembangunan industri sukan elektronik tempatan. Pihak berkepentingan kini mempunyai akses kepada kemudahan terkini yang ditawarkan di ESI Hub untuk program latihan, pencarian bakat dan pertandingan mereka. Para belia juga boleh menyertai kejohanan dan program yang dijalankan di sini seperti ESI Masterclass dan Malaysia Esports League 2022 (MEL22) yang akan bermula Julai akan datang.”
Ahmed Faris Amir, Ketua Pegawai Eksekutif ESI berkata, “ESI Hub akan menjadi rumah dan pusat bagi ekosistem sukan elektronik di Malaysia, dan ini membuka ruang kepada syarikat-syarikat swasta untuk berkolaborasi dan menyediakan tajaan. Daripada pelibatan secara langsung kepada penganjuran bersama kejohanan mini, termasuk juga pengaktifan jenama, ESI Hub sesuai untuk mana-mana syarikat yang sedang meneroka penglibatan berimpak tinggi dengan komuniti sukan elektronik tempatan. Kami menjemput semua syarikat untuk mempertimbangkan ESI Hub sebagai salah satu lokasi pilihan dalam setiap perancangan program pembangunan dan latihan mereka.”
Untuk pengetahuan, ESI Hub kini dibuka untuk tempoh percubaan di mana orang rami boleh menghubungi ESI untuk melawat kemudahan hab dan mencuba peralatan permainan. Hab ini akan dibuka secara rasmi kepada orang ramai pada bulan Julai dan akan menawarkan kadar subsidi selama 3 bulan, membolehkan semua untuk memanfaatkan kemudahan tersebut. Hab ini juga akan menawarkan inisiatif-inisiatif strategik KBS menerusi Majlis Sukan Negara (MSN) dan ESI seperti liga dan kejohanan e-sukan kebangsaan, program pembangunan kapasiti dan sokongan industri sebagai rakan kerjasama.
Jom Like, Komen, Share, Follow dan Subscribe semua platform media sosial mySukanTV untuk dapatkan info sukan yang terkini.