KUALA LUMPUR, 22 April 2022 – Ketika sidang media Kontinjen Malaysia yang telah berlangsung semalam di Majlis Sukan Negara, Ng Jing Xuen, pemain golf remaja negara yang lebih mesra dengan panggilan JX telah menyatakan hasratnya untuk memenangi pingat emas pada penampilan pertamanya di temasya Sukan SEA Hanoi 2021 pada bulan depan.
Beliau yang berusia 14 tahun berkata, “Terdapat banyak turun dan naik sepanjang tahun ini, jadi tahap keyakinan adalah amat penting. Saya juga bagi tahu pada diri saya, bahawa saya tidak boleh berputus asa pada permainan ini, kerana ia suatu yang (saya inginkan), saya suka untuk kekalkan ‘vibes’ positif.”
“Untuk sasaran saya, walaupun saya paling muda, saya masih percaya yang saya boleh lakukannya. Saya dan rakan sepasukan akan berikan yang terbaik untuk memenangi pingat emas,” tambah beliau.
Untuk pengetahuan, JX telah memenangi empat gelaran sehingga kini dan beliau juga merupakan pemain termuda memenangi Terbuka Amatur Perak ke-63 2019 pada usia 11 tahun. JX berkedudukan ke-237 dalam Ranking Golf Amatur Dunia.
Di samping itu, Ervin Chang yang berusia 23 tahun berkata, “Penyertaan pertama saya di Sukan SEA ialah di KL 2017, jadi masih menyasarkan untuk menang pingat, dan ia bukanlah suatu yang mudah kerana saingan yang tinggi. Saya berharap saya akan dapat menjadi pemain profesional pada hujung tahun ini.”
Jom Like, Komen, Share, Follow dan Subscribe semua platform media sosial mySukanTV untuk dapatkan info sukan yang terkini.